LKAN: Tiga tender UKM RM58 juta tidak ikut prosedur

LKAN: Tiga tender UKM RM58 juta tidak ikut prosedur

Sebanyak tiga tender di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bernilai RM58.45 juta didapati tidak mematuhi prosedur ditetapkan dalam proses perolehan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak tiga tender di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bernilai RM58.45 juta didapati tidak mematuhi prosedur ditetapkan dalam proses perolehan.

Menerusi Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025, terdapat ketakteraturan yang serius serta kelemahan dalam proses perolehan tender dan tatakelola pengurusan perolehan melibatkan tiga tender terbabit.

Jelasnya, perkara itu berlaku apabila Jawatankuasa Perolehan Tender memilih syarikat yang tidak disyorkan oleh Jawatankuasa Penilaian Teknikal, Jawatankuasa Penilaian Kewangan dan Jawatankuasa Pra Tender.

“Keputusan Jawatankuasa Perolehan Tender dibuat oleh semua ahli secara kolektif. Ini termasuk Jawatankuasa Pra Tender yang memperakukan syarikat yang gagal di peringkat Jawatankuasa Penilaian Tender bagi kerja menaik taraf dan penggantian 16 unit lif.

“Selain itu, tiga perolehan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) termasuk perkhidmatan sajian makanan pesakit didapati tidak mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

LKAN memaklumkan proses pengauditan terhadap tujuh perolehan tender yang meliputi perolehan bekalan, perkhidmatan dan kerja telah dilaksanakan pada bulan November 2024 hingga Januari lalu.

“Untuk Jawatankuasa Perolehan Tender bagi ketiga-tiga tender tersebut, UKM tidak melantik wakil Kementerian Kewangan sebagai ahli Jawatankuasa manakala wakil Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) telah dilantik, namun tidak hadir semasa mesyuarat Jawatankuasa Perolehan Tender bagi ketiga-tiga tender tersebut,” katanya.

Bagi memastikan tatakelola kewangan dipatuhi sepenuhnya, UKM disyorkan mengambil tindakan tatatertib terhadap ahli jawatankuasa dan pegawai terlibat yang tidak mematuhi undang-undang, peraturan dan prosedur kewangan dalam pengurusan perolehan tertakluk kepada keputusan Jawatankuasa Siasatan Dalaman di peringkat KPT.

“Garis Panduan Perolehan UKM berkaitan proses penilaian dan pemilihan kontraktor juga perlu ditambah baik bagi memastikan ia selaras dan mengikut Pekeliling Perbendaharaan dan peraturan kewangan yang berkuat kuasa.

“Selain itu, membuat pemantauan rapi terhadap pembekalan peralatan LINAC dan penggantian lif bagi memastikan jadual kerja dipatuhi agar perkhidmatan di HCTM tidak terjejas,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN