Lima penyelidik UPSI terima geran RM100,000 - Utusan Malaysia

Lima penyelidik UPSI terima geran RM100,000

SAARANI Mohamad (tengah) bersama lima penyelidik UPSI yang menerima Geran Pembangunan Kandungan Ekonomi Penjagaan di Ipoh hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Kerajaan negeri melalui Institut Darul Ridzuan (IDR) menyalurkan geran penyelidikan berjumlah RM100,000 kepada lima penyelidik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

IDR dalam kenyataannya berkata, geran penyelidikan yang diterima menerusi Geran Pembangunan Kandungan Ekonomi Penjagaan itu merupakan usaha rintis hasil kerjasama antara IDR dan UPSI.

Katanya, pemberian geran tersebut merupakan sebahagian strategi kerajaan negeri menjadikan Ipoh sebagai hab ekonomi penjagaan yang memfokuskan kepada kesejahteraan komuniti, warga emas, penjagaan kesihatan dan inovasi sosial.

“Sebanyak RM100,000 telah diperuntukkan bagi tujuan pembangunan kandungan bertemakan ekonomi penjagaan, yang turut disepadankan dengan jumlah yang sama oleh pihak UPSI bagi menyokong aspek penerbitan.

“Lima penerima geran dipilih dalam kalangan penyelidik UPSI setelah melalui proses saringan telus dan berimpak tinggi yang dilaksanakan oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi (RMIC) dan IDR,” kata kenyataan itu.

Geran berkenaan disampaikan sempena pelancaran PEMIKIR Majlis Institusi Pengajian Tinggi (Majlis IPT): Lonjakan Peranan Institusi Pengajian Tinggi dalam Agenda Perak Sejahtera 2030 oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mohd Zaki Mahyudin; Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff dan Ketua Pegawai Eksekutif IDR, Dr. Maisarah Ahmad.

Kenyataan sama turut memaklumkan, Majlis IPT merupakan antara agenda strategik kerajaan negeri dalam memperkasa peranan IPT sebagai pemacu pembangunan sosioekonomi dan kecemerlangan dasar negeri selaras dengan aspirasi Perak Sejahtera 2030.

Menurut kenyataan itu, Majlis IPT juga adalah gedung yang menempatkan kepakaran dan juga wadah yang menyatukan pemikir dalam kalangan ahli akademik.

“Pemikir dari Majlis IPT ini bakal membantu dalam memperkasa dasar pembangunan negeri melalui sumbangan pemikiran, tenaga dan sumber.

“Dengan penubuhan Majlis IPT dan pelaksanaan geran ini, diharapkan ia menjadi pemangkin dalam memperkasa peranan akademik sebagai rakan strategik pembangunan negeri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN