LFL persoal alasan pemangku Ketua Hakim tolak permohonan Badan Peguam

LFL persoal alasan pemangku Ketua Hakim tolak permohonan Badan Peguam

Latheefa Koya
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Alasan pemangku Ketua Hakim Negara,Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim menolak permohonan Badan Peguam Malaysia untuk menangguhkan kes mahkamah agar peguam dapat menyertai berhimpun aman pada 14 Julai ini tidak munasabah dan mencemarkan kerjasama antara badan kehakiman dan peguam.

Penasihat Lawyers for Liberty (LFL), Latheefa Koya berkata, permohonan penangguhan dalam hal itu sewajarnya dibenarkan memandangkan isu yang dibangkitkan berkait rapat dengan persoalan penting mengenai kebebasan badan kehakiman di negara ini.

Beliau berkata, alasan yang diberikan oleh pemangku Ketua Hakim bahawa saksi dan pegawai telah membuat persiapan untuk perbicaraan adalah tidak munasabah.

“Ia bukanlah alasan yang kukuh untuk menolak permintaan Badan Peguam. Penangguhan seperti ini pernah dimohon oleh Badan Peguam atau Jabatan Peguam Negara atas pelbagai sebab sebelum ini dan biasanya telah diluluskan.

“Oleh itu, permohonan penangguhan dalam hal ini sewajarnya dibenarkan memandangkan isu yang dibangkitkan berkait rapat dengan persoalan penting mengenai kebebasan badan kehakiman di negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, permohonan Badan Peguam Malaysia untuk menangguhkan semua prosiding mahkamah pada 14 Julai ini bagi membolehkan para peguam menyertai perhimpunan dan perarakan aman mempertahankan kebebasan kehakiman ditolak Hasnah.

Timbalan Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Azhaniz Teh Azman Teh berkata, perkara itu mengambil kira tarikh berkenaan melibatkan kes-kes yang telah ditetapkan lebih awal serta melibatkan pelbagai pemegang taruh.

Katanya, tarikh berkenaan melibatkan kes-kes yang telah ditetapkan lebih awal serta melibatkan pelbagai pemegang taruh, pihak yang berkepentingan, saksi-saksi dan pegawai-pegawai yang telah membuat persiapan bagi tujuan perbicaraan atau sambung bicara, permohonan penangguhan tidak dapat dibenarkan. 

Mengulas lanjut Latheefa berkata, keputusan itu juga secara tidak langsung telah menafikan hak Badan Peguam untuk menggunakan kebebasan berhimpun yang dijamin oleh Perlembagaan

Katanya, penolakan tersebut merupakan tindakan yang mencemarkan hubungan saling menghormati dan kerjasama antara badan kehakiman dan Badan Peguam.

“Badan Peguam Malaysia adalah sebuah badan berkanun yang diberi kuasa di bawah seksyen 42(1)(a) Akta Profesion Undang-Undang 1976 untuk ‘menegakkan keadilan tanpa mengira kepentingan sendiri atau ahlinya, serta tanpa dipengaruhi oleh rasa takut atau pilih kasih’.

“Antara objektif utama di bawah seksyen 42(1)(a) ini adalah untuk mempertahankan kebebasan dan ketidakberpihakan badan kehakiman.

“Berdasarkan objektif berkanun Badan Peguam, pemangku Ketua Hakim Negara sepatutnya menggunakan segala kuasa yang ada untuk memudahkan perarakan yang dianjurkan oleh Badan Peguam, termasuk membenarkan permintaan penangguhan tersebut,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN