PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu semua lembaga kemajuan wilayah (LKW) memfokuskan semula kepada membangunkan ekonomi tempatan, memperkukuh pendidikan dan menyelaras pembangunan secara sistematik.
Ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulan Julai Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), beliau turut bertanya apakah peranan sebenar LKW dalam ekosistem pembangunan luar bandar pada hari ini.
“Saya lihat sekarang, LKW buat macam-macam. Ada yang kadang tidak kena dengan asas penubuhannya. Bila saya teliti, kita perlu nilai semula peranan sebenar LKW.
“Jangan kita hilang arah. Jangan kita letih merancang pelbagai program, tetapi akhirnya tidak mengena kepada sasaran sebenar. Sudah tiba masanya kita buat yang betul, bukan sekadar buat banyak,” katanya.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, setiap LKW yang terdiri daripada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) dan Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) menjaga wilayah dan rakyat dalam jumlah yang besar dengan semuanya memegang amanah kepada hampir tiga juta masyarakat desa.
Justeru, beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah tidak mahu LKW mengambil enteng tanggungjawab tersebut kerana rakyat lah sebenarnya yang akan menentukan keberkesanan dasar-dasar kerajaan di akar umbi.
“Biar lah pembangunan infrastruktur KKDW uruskan melalui jalan perhubungan desa (JPD), jalan ladang pertanian (JLP) dan program ameniti sosial (PAMS), kemudian aspek perumahan KKDW uruskan melalui Program Perumahan Rakyat Sejahtera (PPRS).
“LKW pula fokus semula kepada peranan utama mereka dan mencari ruang baharu untuk menjana pendapatan sendiri serta memberi nilai tambah kepada pemegang taruh,” ujarnya.
Katanya lagi, salah satu usaha yang dibanggakan dan beliau mahu ia diperluaskan adalah pendekatan pertanian berimpak tinggi melalui Projek Agrotek Wilayah KETENGAH.
Jelasnya, melalui pendekatan konsep pertanian pintar bagi tanaman cili fertigasi ini, ia mampu meningkatkan produktiviti dan pendapatan.
“Setakat ini, 16,000 polibeg telah diusahakan di atas tanah 4 ekar oleh 4 orang peserta. Saya percaya dengan bimbingan serta teknologi yang tepat, projek ini berpotensi menghasilkan 96,000 kilogram cili dengan anggaran hasil jualan sebanyak RM576,000 setahun.
“Inilah maksud sebenar untuk kembali kepada asas. Kita tidak perlu mencari program yang besar hanya untuk memenuhi kalendar, yang kita perlukan ialah program yang berfokus, berimpak dan benar-benar memberi kelebihan kepada golongan sasar,” katanya. – UTUSAN