PETALING JAYA: Seorang lelaki maut selepas dipercayai ditendang seekor lembu sebelum tercampak ke dalam sungai di Ladang Batu 2, Kerling, Hulu Selangor dekat sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.55 pagi, mangsa berusia 53 tahun itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam sungai berhampiran ladang sawit berkenaan oleh seorang pekerja ladang warga Indonesia.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, susulan itu, Penolong Pegawai Perubatan yang dimaklumkan mengenai kejadian segera ke lokasi dan mendapati mangsa masih mempunyai nadi.
“Bantuan pernafasan (CPR) diberikan kepada mangsa sebelum mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
“Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan luka pada dahi mangsa dan pihak hospital telah menjalankan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan otak traumatik teruk (Severe Traumatic Brain Injury) berpunca daripada jatuh dari tempat tinggi,”jelasnya.
Menurut beliau, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). – UTUSAN