SEREMBAN: Seorang lelaki mengalami kecederaan di bahagian kepala, leher dan patah pergelangan tangan susulan diserang hidupan liar dipercayai kucing tulap di Kampung Pauh, Terachi, di Kuala Pilah, semalam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Faizal Izham Pikri berkata, pihaknya menerima maklumat tersebut pukul 9 malam semalam.
Menurutnya, pada mulanya, aduan serangan dikatakan harimau kumbang di mangsa mangsa diserang pada awal pagi di kawasan kandang kambing milik mangsa yang berada di belakang premis kediaman.
“Kita mendapatkan maklumat lanjut mangsa daripada kenalan mangsa berkenaan serangan ini. Kira-kira pukul 11 pagi, kakitangan Perhilitan Negeri Sembilan telah ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) untuk melawat mangsa dan menjalankan siasatan.
“Hasil siasatan, hidupan liar yang menyerang mangsa ialah disyaki daripada spesies Kucing Tulap dan kawasan hutan terhampir dengan lokasi kejadian ialah Hutan Simpan Berembun,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Ujar Faizal Izham lagi, pemantauan dan pemasangan kamera akan dilakukan oleh Unit Konservasi Harimau Malaya (UKHM), Perhilitan Negeri Sembilan bagi pemantauan selanjutnya di lokasi mangsa terkena serangan.
Dalam pada itu, beliau menyatakan, pihaknya juga telah menyerahkan borang permohonan Kumpulan Wang Amanah Mangsa Serangan Binatang Buas (KWASBB) kepada mangsa bagi meringankan sedikit kos yang perlu ditanggung oleh mangsa sepanjang tempoh rawatan.
Difahamkan, mangsa yang juga seorang imam diserang kira-kira pukul 3 ke 4 pagi selepas mangsa terdengar suara kambing bising dari arah kandang belakang kediamannya.
Mangsa kemudian keluar buat tinjauan dan pemeriksaan di sekitar kandang kambing dan secara tiba-tiba diserang oleh seekor binatang yang pada awalnya dipercayai harimau kumbang.
Mangsa kemudian berjaya menyelamatkan diri dengan bantuan orang awam. – UTUSAN