Lebih 500 hidupan dikesan selepas 50 tahun Pulau Banding terbentuk - Utusan Malaysia

Lebih 500 hidupan dikesan selepas 50 tahun Pulau Banding terbentuk

PESERTA Banding Trail Adventure (BTA) melakukan proses penandaan pokok pada ekspedisi biodiversiti antara Pulau Banding Foundation (PBF) dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Pulau Banding di Gerik hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Pulau Banding yang wujud kira-kira 50 tahun lalu kesan pembinaan Empangan Temenggor pada pertengahan 1970-an  sudah mempunyai 519 spesies tumbuhan, haiwan dan kulat selain spesis kategori terancam.

Kajian itu berjaya diperoleh hasil program ekspedisi biodiversiti antara Pulau Banding Foundation (PBF) dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) – Pusat Penyelidikan Hutan Hujan Tropika selama dua hari sejak Jumaat lalu melibatkan kawasan seluas 4.7 kilometer.

Antara spesis terancam dan sukar ditemui namun dikesan di pulau itu antaranya pokok Gaharu, beberapa jenis Kijang, pelanduk (mouse deer), landak, serta kucing batu (Leopard cat) selain Ular Terbang.

Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah PBF, Datuk Prof. Emeritus Dr. Abdul Latiff Mohamed, percaya lebih banyak spesies ditemui jika tempoh ekspedisi tersebut dipanjangkan.

“Jika diterokai dengan lebih mendalam dan terperinci, kemungkinan ada potensi untuk menemui spesies yang baharu atau tidak pernah direkodkan di kawasan ini.

“Kita baharu menerokai permukaan sahaja. Kita boleh menyelidik lebih mendalam khususnya untuk mengesan hidupan yang sukar dilihat seperti kulat mikro atau lumut,” katanya semasa di temui di Pulau Banding di sini hari ini.

Pulau Banding terhasil kesan pembinaan Empangan Temenggor pada pertengahan 1970-an dan pulau itu boleh diakses menerusi dua jambatan Tasik Temenggor.

Pulau itu juga terletak di dalam wilayah atau kompleks Hutan Belum-Temenggor iaitu kawasan popular habitat gajah liar dan Harimau Malaya yang sering muncul di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB).

Abdul Latiff berkata, penemuan 519 spesies biodiversiti itu telah mengatasi sasaran awal sebanyak 400 spesies di dalam program tersebut yang dinamakan sebagai Banding Trail Adventure (BTA) 2025.

Kejayaan itu juga membolehkan BTA 2025 mencipta rekod ‘Bilangan Spesies Biodiversiti Terbanyak Dikenal pasti dalam Sesuatu Program’ oleh Malaysia Book of Records. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN