Lawatan luar negara PM: Tuduhan pembangkang tunjuk kebebalan

Lawatan luar negara PM: Tuduhan pembangkang tunjuk kebebalan

LAWATAN Anwar Ibrahim ke luar negara termasuk menghadiri Forum Perniagaan BRICS di Brazil bawa agenda besar tarik pelaburan berkualiti tinggi dan buka pasaran baharu untuk syarikat Malaysia. - FACEBOOK ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tuduhan pembangkang kononnya lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke luar negara bersifat ‘jalan-jalan’ bukan sahaja mencerminkan kepemimpinan berminda kecil, selain menunjukkan kebebalan dalam memahami impak kekalutan geopolitik dan geoekonomi yang sedang melanda dunia terhadap rakyat serta negara.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi menjelaskan lawatan itu hakikatnya membawa agenda besar termasuk menarik pelaburan berkualiti tinggi dan membuka pasaran baharu untuk syarikat Malaysia.

“Bermula dengan asas untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi, memperkukuh kerjasama strategik, membuka pasaran baharu untuk syarikat Malaysia, sehinggalah memperjuangkan suara negara membangun di platform global seperti Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS).

“Ini bukan suka-suka jalan-jalan. Ini diplomasi ekonomi dan geopolitik yang proaktif dan berpandangan jauh,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri juga mengadakan lawatan kerja ke Itali dan Perancis.

Pada masa sama, Ahmad Farhan berkata, inisiatif diplomasi ekonomi yang dipimpin Perdana Menteri membuka ruang kepada peluang ekonomi baharu yang strategik, antaranya dalam meluaskan akses pasaran menerusi penyambungan semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah (EU).

Ia juga membuka ruang terhadap pemeteraian FTA dengan negara Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA).

“Langkah proaktif Malaysia membuahkan hasil dengan peningkatan ketara dalam pelaburan yang diluluskan, iaitu sebanyak 14.9 peratus dengan nilai berjumlah RM378 bilion.

“Selain itu, prestasi perdagangan juga mencatat pertumbuhan dengan nilai dagangan mencapai RM2.88 trilion, peningkatan 9.2 peratus pada tahun 2024.

“Pendekatan proaktif ini amat signifikan bagi Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka, dengan nisbah dagangan kepada KDNK mencecah 130 peratus,” katanya.

Ahmad Farhan berkata, di bawah kepemimpinan Madani, dunia kembali memandang Malaysia sebagai rakan yang berprinsip, stabil dan berpotensi.

Katanya, pelaburan berbilion ringgit, pemeteraian perjanjian strategik dan penyertaan aktif Perdana Menteri di platform ekonomi dan diplomatik bertaraf dunia membuktikan keberkesanan dasar luar negara.

“Sebaliknya, semasa era pentadbiran gerombolan mereka, citra negara tidak terkehadapan. Akuilah hakikat ini yang terserlah dalam lipatan sejarah krisis politik negara.

“Era kepemimpinan tempang, lemah dan ketandusan idea ibarat seperti ‘seekor belalang di tepi lautan’ itu sudah lama berlalu sejak kerajaan MADANI memandu negara kita.

“Nasihat saya kepada tokoh berminda kecil dalam blok pembangkang ialah fahami dan kenali rakyat dengan lebih baik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN