Latihan bersama tentera Malaysia-AS dapat perhatian antarabangsa - Utusan Malaysia

Latihan bersama tentera Malaysia-AS dapat perhatian antarabangsa

EKSESAIS Keris Strike iaitu latihan bersama tentera Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) yang diadakan di Lenggong hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Lebih banyak negara mahu dilibatkan terutama sebagai pemerhati program Eksesais Keris Strike iaitu latihan bersama tentera Malaysia dengan Amerika Syarikat (AS) yang sudah diadakan sejak 30 tahun.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, program latihan bersama yang diadakan pada tahun ini di Perak telah berjaya melibatkan pegawai pemerhati dari Jepun dan Thailand.

“Pada tahun ini kita telah berjaya melibatkan pegawai-pegawai pemerhati dari negara sahabat, iaitu Thailand dan Jepun atau Japan Self-Defense Forces (JSDF).

“Ini menunjukkan bahawa pelaksanaan eksesais yang telah berlangsung lebih 30 tahun ini semakin lama semakin mendapat perhatian daripada negara sahabat. Insya-Allah, pada masa hadapan kita akan cuba libatkan lagi negara-negara lain sebagai pemerhati untuk menilai dan turut sama menjayakan Eksesais Keris Strike pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir ke latihan Serangan Akhir dan Majlis Penutup Eksesais Keris Strike Siri 30/2025 di Felda Lawin Selatan di sini hari ini.

Latihan itu berlangsung di Perak dari 17 hingga 30 Julai meliputi kawasan Ipoh, Sungai Siput, Kuala Kangsar serta Lenggong melibatkan lebih 4,000 anggota Tentera Darat Malaysia (TDM), 233 anggota United States Army Pacific Command (Usarpac) serta 151 anggota tentera darat Australia.

Kata Muhammad Hafizuddeain, latihan pada tahun ini bertemakan Memperkukuh Kerjasama Untuk Meningkatkan Kesiagaan.

“Boleh dirumuskan bahawa matlamat kita untuk meningkatkan kerjasama antara tentera darat yang terlibat di samping meningkatkan diplomasi pertahanan negara-negara yang terlibat telah tercapai,” katanya.

Tambah beliau, latihan tahun ini ada kelainan iaitu latihan menembak melibatkan tembakan sistem roket lancar berganda (SRLB) Astros II oleh TDM dan sistem High Mobility Artillery Rocket (Himars) milik Tentera Darat AS. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN