Lanjut tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara - DAP

Lanjut tempoh perkhidmatan Ketua Hakim Negara – DAP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Perkhidmatan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim wajar dilanjutkan selama enam bulan selepas tarikh persaraan wajib.

Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) DAP berkata, lanjutan itu wajar diberikan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan memandangkan kedua-dua tokoh kehakiman itu telah menunjukkan prestasi cemerlang dan berintegriti sepanjang tempoh perkhidmatan mereka.

“Walaupun lanjutan seperti ini bukan satu hak yang automatik, kami mengambil maklum bahawa terdapat lanjutan diberikan kepada hakim-hakim kanan terdahulu selepas persaraan wajib mereka.

“Kami tidak melihat sebarang sebab mengapa perkara yang sama tidak boleh diterapkan kepada Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan pada masa ini,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Tambah DAP, ini menjadikan keperluan untuk mengekalkan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan sedia ada sebagai langkah penting bagi memastikan proses peralihan pelantikan baharu ke Mahkamah Persekutuan berjalan dengan lancar.

“Ia susulan akan berlaku banyak kekosongan dalam Mahkamah Persekutuan kerana persaraan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan yang telah dan bakal berlaku,” katanya.

DAP turut menegaskan bahawa pendirian mereka bukan bertujuan mempolitikkan isu ini, sebaliknya sebagai pengiktirafan ikhlas terhadap sumbangan kedua-dua tokoh tersebut dalam memperkukuh institusi kehakiman negara yang juga merupakan antara tonggak agenda reformasi kerajaan Madani.

“Parti itu berpandangan bahawa lanjutan perkhidmatan akan memperkukuh usaha kerajaan dalam menambah baik sistem pentadbiran keadilan, dengan penekanan terhadap merit sebagai kriteria utama pelantikan dan penyambungan perkhidmatan hakim,” katanya.

Hari ini merupakan hari terakhir perkhidmatan Tun Tengku Maimun sebagai Ketua Hakim Negara, manakala Tan Sri Abang Iskandar dijadualkan bersara wajib esok, susulan ketiadaan sebarang pengumuman rasmi daripada kerajaan berhubung lanjutan tempoh perkhidmatan mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN