GEORGE TOWN : Lampu papan tanda di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) yang sebelum ini tular kerana tidak menyala dengan sempurna telah dibaiki sepenuhnya oleh pihak Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, pihak MAHB telah mengenal pasti punca masalah sebagai kegagalan penyelarasan relay timer yang menyebabkan lampu-lampu pada huruf ‘Penang International Airport’ itu tidak menyala dan padam secara serentak.
“Masalah ini berpunca daripada relay timer yang tidak diselaraskan. Jadi, MAHB telah membetulkan dan melaraskan semula sistem supaya lampu-lampu itu kini menyala dan padam serentak,” katanya.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai lampu papan tanda LTAPP yang dikatakan tidak menyala dengan sempurna.
Perkara itu meraih perhatian pengguna media sosial memandangkan lapangan terbang berkenaan merupakan antara pintu masuk negara yang popular dalam kalangan pelancong. – UTUSAN