Dua keldai dadah warga Indonesia ditahan di LTAPP

Dua keldai dadah warga Indonesia ditahan di LTAPP

HAMZAH Ahmad (tiga dari kanan) menunjukkan bagasi yang digunakan dua warga Indonesia untuk membawa dadah dalam sidang akhbar di IPK Pulau Pinang, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Polis menahan dua lelaki warga Indonesia di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Isnin lalu kerana disyaki menjadi keldai dadah.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.20 petang itu, kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 25 dan 27 tahun ditahan ketika membawa dadah jenis syabu di dalam bagasi jenis ‘hand carry’ di lapangan terbang berkenaan.

Ketika ditahan, kedua-dua suspek yang bekerja sebagai pereka dalaman dan pengedar barangan elektronik itu sedang dalam perjalanan pulang ke Indonesia.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, terdahulu, polis bantuan LTAPP menyedari terdapat barangan yang mencurigakan di dalam bagasi ‘hand carry’ itu sebelum bertindak menghubungi pihak polis untuk menjalankan pemeriksaan lanjut.

“Hasil siasatan polis menjumpai 20 bungkus plastik lutsinar berisi syabu seberat 2,000 gram bernilai RM64,000 dan satu peket plastik mengandungi 14 biji pil ekstasi bernilai RM700. Kesemua barangan ini disimpan dan disorokkan dibawah lipatan baju di dalam bagasi yang dibawa suspek,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

Menurut Hamzah, suspek bagaimanapun mendakwa mereka datang ke negara ini menerusi satu ‘trip’ percutian dan tidak mengetahui bahawa terdapat dadah dalam bagasi tersebut.

“Ini merupakan kali kedua suspek-suspek berkenaan masuk ke negara ini. Kali pertama mereka masuk tiada dadah dibawa pulang. Kita percaya mereka diupah untuk membawa dadah berkenaan dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.

Tambah Hamzah, hasil risikan mendapati, aktiviti pengedaran dadah oleh sindiket itu baru bergiat aktif untuk pasaran luar negara dan kedua-dua suspek itu dipercayai berperanan sebagai keldai dadah.

“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 10,000 orang. Ujian saringan air kencing kedua-dua suspek bagaimanapun negatif dan mereka juga tiada rekod jenayah lampau.

“Suspek-suspek itu kini ditahan reman sehingga 27 Mei ini untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×