KUALA LUMPUR: Tiket konsert penyanyi, Dayang Nurfaizah iaitu Janji With Dayang yang bakal berlangsung di Tower Terrace, Menara Kuala Lumpur dan The Top, Pulau Pinang habis terjual dalam masa singkat, semalam.
Difahamkan, kesemua kategori bagi kedua-dua lokasi konsert tersebut selesai dijual selepas 20 minit penjualan tiket dibuka.
Menurut pihak Mask Team, pihaknya bersama Usanita Entertainment kini dalam usaha untuk menambah tempat duduk bagi kedua-dua lokasi konsert.
“Kami amat terharu dan berterima kasih atas sokongan luar biasa daripada peminat. Kami teruja melihat sambutan luar biasa ini.
“Oleh itu, kami sedang merancang untuk menambah tiket persembahan untuk kedua-dua lokasi. Nantikan pengumuman lanjut di media sosial,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Konsert Janji With Dayang yang bakal diadakan di The Top, Pulau Pinang akan berlangsung pada 23 Ogos ini.
Manakala, konsert bakal diadakan di Tower Terrace, Menara Kuala Lumpur dijadualkan akan berlangsung pada 27 September depan.