PETALING JAYA: Malaysia menggesa Thailand dan Kemboja segera melaksanakan gencatan senjata tanpa syarat dan menyambung semula rundingan damai bagi memulihkan keamanan serta kestabilan di kawasan sempadan kedua-dua negara.
Menteri Luar, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan berkata, sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia amat bimbang terhadap peningkatan ketegangan yang telah menyebabkan kematian, kemusnahan harta awam dan pemindahan besar-besaran penduduk di kawasan terjejas.
“Malaysia menyeru kedua-dua negara mengamalkan sikap berhemah, mengelak daripada sebarang tindakan yang boleh memburukkan keadaan serta kembali ke meja rundingan berdasarkan semangat kekeluargaan ASEAN, perpaduan dan kejiranan baik.
“Kami juga bersedia untuk terus memainkan peranan melalui pejabat Pengerusi ASEAN dalam membantu Thailand dan Kemboja yang merupakan rakan anggota ASEAN untuk menamatkan pertempuran dan meneruskan dialog damai,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Media antarabangsa melaporkan sekurang-kurangnya 33 anggota tentera dan orang awam terbunuh, manakala lebih 168,000 penduduk Thailand dan Kemboja telah dipindahkan susulan pertempuran tercetus Khamis lalu.
Konflik itu disifatkan sebagai pertikaian sempadan paling buruk antara kedua-dua negara jiran dalam tempoh 13 tahun.
Pertikaian sempadan antara Thailand dan Kemboja dilaporkan kembali memuncak sejak Mei lalu, apabila seorang askar Kemboja terbunuh dalam satu konfrontasi bersenjata.
Sempadan sepanjang 818 kilometer antara kedua-dua negara itu telah sekian lama menjadi punca perselisihan, terutama melibatkan kawasan yang dilakar semasa era penjajahan Perancis ke atas Kemboja pada tahun 1907.
Antara lokasi yang sering menjadi rebutan termasuk beberapa kuil purba di sepanjang sempadan seperti Prasat Ta Moan Thom dan kuil bersejarah Preah Vihear. – UTUSAN










