SEPANG: Cubaan seorang wanita tempatan cuba menyeludup keluar spesies hidupan liar gagal apabila ditahan pihak berkuasa di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini bersama beberapa ekor haiwan eksotik yang disembunyikan di dalam bagasi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.10 malam semalam, pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang menjalankan pemeriksaan bagasi rutin di kawasan Hammerhead H2 berjaya menemukan sembilan ekor haiwan liar dalam bagasi diperiksa.
Unit Komunikasi Korporat AKPS berkata, pemeriksaan itu dilakukan terhadap bagasi milik penumpang penerbangan Malaysia Airlines MH0198 yang dijadualkan berlepas ke Hyderabad.
“Suspek seorang wanita warga Malaysia berusia 36 tahun berasal dari Negeri Sembilan itu telah ditahan serta-merta.
“Antara haiwan yang dirampas ialah empat ekor disyaki Siamang, selain seekor disyaki beruk dan empat ekor disyaki Sugar Glider,” katanya dalam kenyataan hari ini.
AKPS berkata, kesemua haiwan terbabit merupakan spesies dilindungi dan dipercayai diseludup untuk tujuan perdagangan haram antarabangsa.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM127,000. Suspek dibawa ke Balai Polis KLIA untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716] serta Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 [Akta 686],” katanya.
AKPS berkata, pemeriksaan bersepadu AKPS KLIA dengan kerjasama pihak AVSEC KLIA akan terus dipergiatkan dalam usaha mengekang kegiatan penyeludupan hidupan liar melalui laluan udara negara. – UTUSAN