Kongres Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ke-27 akan diadakan pada 25-27 Julai 2025 di Kuala Kangsar, Perak. Kongres PSM kali ini diadakan dalam suasana dunia dan negara kita yang penuh dengan ancaman serta ketidaktentuan. Jadi, Kongres PSM menjadi satu forum yang penting untuk ahli-ahli PSM yang komited dalam perjuangan masyarakat membincangkan cara-cara yang dapat memantapkan lagi kerja-kerja organisasi parti dan memajukan usaha pembinaan alternatif politik yang progresif.
Sudah 26 kali PSM mengadakan kongres nasional sejak penubuhannya pada tahun 1998. Kongres PSM pertama yang diadakan di Cameron Highlands pada tahun 1998 hanya disertai oleh 12 orang aktivis kiri merupakan pengasas PSM, termasuk Dr. Nasir Hashim, M. Sarasvathy, Dr. Jeyakumar Devaraj, S. Arutchelvan, Rani Rasiah, V. Panneerselvam dan sebagainya. Daripada kongres yang dihadiri oleh 12 orang pada tahun 1998, PSM telah berkembang menjadi sebuah parti politik yang penting kepada perjuangan untuk hak rakyat marhaen, demokrasi dan keadilan sosial di tanah air.
Walaupun PSM masih merupakan sebuah parti politik yang kecil dari segi bilangan anggota berbanding parti-parti arus perdana, selama 27 tahun sejak penubuhannya, PSM telah memainkan peranan penting dalam memperjuangkan nasib rakyat marhaen. PSM pernah mengadakan pelbagai kempen rakyat untuk menuntut pembaharuan sosial yang penting demi memperbaiki kehidupan rakyat marhaen, sehingga membuahkan hasil seperti pelaksanaan gaji minimum dan sistem insurans pekerjaan. PSM masih terus menganjurkan pelbagai kempen seperti Kempen Pemulihan Negara semasa pandemik COVID-19, pencen warga emas RM500 sebulan untuk semua rakyat dan usaha mempertahankan sistem kesihatan awam daripada hakisan dasar yang pro-pasaran.
PSM juga pernah mengharungi pelbagai cabaran sepanjang 27 tahun lalu, tetapi dapat bertahan dan terus mara ke hadapan. PSM telah berjuang selama 10 tahun untuk mendaftarkan parti. PSM pernah menghadapi penindasan hebat daripada pihak berkuasa seperti penangkapan di bawah Ordinan Darurat (EO) pada tahun 2011, tetapi berjaya mengadakan sebuah kempen pembebasan tahan politik yang menggegarkan seluruh negara. PSM akan terus melangkah ke hadapan untuk mencabar sistem sosioekonomi dan politik yang menekan rakyat biasa.
Tema Kongres Nasional PSM kali ini ialah “Kuasa Ketiga, Kuasa Kita”. Tema ini sesuai dengan suasana hati rakyat yang muak dengan dua gabungan politik utama dalam arena pilihan raya di negara kita pada masa ini, iaitu “Kerajaan Perpaduan” yang terdiri daripada Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN) sebagai pihak pemerintah dan Perikatan Nasional (BN) sebagai pihak pembangkang utama dalam Parlimen selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15. Kerajaan Perpaduan PH-BN gagal membawa pembaharuan yang diperjuangkan oleh masyarakat sivil, sementara PN gagal menawarkan alternatif yang meyakinkan rakyat melainkan terus mempermainkan politik perkauman yang sempit.
Cabaran untuk Kuasa Ketiga yang melangkaui kedua-dua blok parti politik arus perdana bukan sekadar sistem pilihan raya “undian pemenang undi terbanyak” (first-past-the-post), tetapi yang lebih kritikal adalah jenis politik yang hendak dibawa oleh Kuasa Ketiga. Jika sebuah gabungan parti politik yang menggelar dirinya “Kuasa Ketiga” masih menggunakan sentimen perkauman untuk meraih sokongan dan gagal mengemukakan dasar sosioekonomi yang meyakinkan dalam memastikan keterjaminan kesejahteraan rakyat, maka ia tidak berbeza dengan dua gabungan parti politik arus perdana yang sedia ada.
Kuasa Ketiga yang hendak dibina oleh PSM adalah berlandaskan aspirasi untuk membina sebuah masyarakat Malaysia yang lebih inklusif dan progresif, berlandaskan prinsip-prinsip demokrasi dan keadilan sosial yang sejati. Ini bukannya sesuatu yang mudah, dan ia bukan semata-mata untuk memenangi kerusi dalam pilihan raya, tetapi berwawasan jangka panjang demi memajukan masyarakat Malaysia secara bersama. Oleh itu, salah satu sesi forum yang akan diadakan semasa Kongres Nasional PSM kali ini bertajuk “Anak Muda dan Kuasa Ketiga”, untuk mendapatkan pandangan daripada aktivis-aktivis anak muda mengenai idea-idea membina Kuasa Ketiga.
Kongres Nasional merupakan badan pembuat keputusan yang tertinggi dalam organisasi PSM. Keputusan penting dalam PSM tidak dibuat oleh seorang dua pemimpin tertinggi parti, sebaliknya harus dibincangkan, dibahaskan dan diputuskan secara demokratik oleh ahli-ahli parti yang mengambil bahagian dalam Kongres Nasional setiap tahun dan Sesi Perbincangan Dalaman yang diadakan jika perlu. Oleh itu, Kongres Nasional PSM yang diadakan setiap tahun menjadi ruang yang penting dalam PSM untuk menyemak dan menilai gerak kerja parti, di samping membahaskan dan menentukan hala tuju serta dasar-dasar parti demi memajukan perjuangan parti.
Terdapat 38 buah usul yang dibawa oleh cawangan-cawangan PSM untuk dibahaskan dalam Kongres Nasional kali ini, antaranya fokus semula kepada isu perumahan mampu milik, kajian tentang sistem percukaian alternatif, pempiawaian nama cawangan, penambahbaikan dalam kerja-kerja publisiti, latihan kepimpinan, strategi pilihan raya, penambahbaikan proses pemilihan dalaman parti, penggunaan kecerdasan buatan (AI) dan sebagainya.
Seperti biasa, ahli-ahli PSM akan mengambil bahagian dalam Kongres Nasional PSM dengan semangat memajukan usaha membina alternatif sosialis di bumi Malaysia.
Choo Chon Kai
Ahli Jawatankuasa Pusat
Parti Sosialis Malaysia