KUALA LUMPUR: Sebanyak 10 daripada 25 Dapur Digital tambahan bakal diwujudkan di ibu negara bagi menjadikan Kuala Lumpur sebagai peneraju pelaksanaan inisiatif itu di peringkat nasional.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, program itu telah menerima peruntukan berjumlah RM5 juta bagi menubuhkan 25 lagi dapur digital di seluruh negara.
Katanya lagi, Projek Dapur Digital selama ini telah merekodkan kutipan jualan mencecah RM1 juta secara keseluruhan.
“Sepanjang tahun lalu, sebanyak lima Dapur Digital telah berjaya diwujudkan dan beroperasi dengan jayanya di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, PPR Wangsa Sari, PPR Kampung Limau, PPR Setapak Jaya dan PPR Intan.
“10 Dapur Digital yang bakal diwujudkan adalah di PPR Seri Semarak; PPR Hiliran Ampang; PPR Seri Alam; PPR Raya Permai; PPR Kampung Muhibbah; PPR Taman Mulia, PPR Beringin; Pangsapuri Sentul Utara; Perumahan Awam (PA) Sri Kedah dan PA Seri Perlis II.
“Mereka bermula dengan semangat dan sokongan sistem yang betul dan hasilnya, jumlah jualan keseluruhan yang direkodkan telah pun melebihi RM 1 juta. Ini adalah mesej yang jelas bahawa rakyat kita sebenarnya mampu apabila diberi peluang.
“Maka, atas kejayaan ini, melalui Belanjawan 2025, program ini telah menerima peruntukan berjumlah RM5 juta bagi menubuhkan 25 lagi dapur digital di seluruh negara,” katanya dalam Majlis Penyerahan Kunci Dapur Digital di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.
Projek Dapur Digital adalah program kerjasama awam-swasta-filantropi pertama di Malaysia disokong Kementerian Kewangan, Jabatan Wilayah Persekutuan, DBKL dan Yayasan Hasanah yang berfungsi sebagai hab ekonomi menawarkan peluang kepada usahawan mikro B40 untuk menjana pendapatan untuk keluarga.
Usahawan di bawah inisiatif Dapur Digital ini menggunakan teknologi terkini yang membolehkan mereka memperluas pasaran melalui platform digital.
Zaliha berkata, pihaknya akan meminta Pepper Labs selaku operator membantu peserta yang terlibat untuk mendapatkan pensijilan Halal.
“Saya minta Pepper Labs untuk turut bantu peserta-peserta kita ini untuk mendapatkan pensijilan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Sijil Makanan Berasaskan Rumah dan pensijilan BeSS dari Kementerian Kesihatan supaya pasaran mereka akan lebih berkembang besar dengan kesemua pensijilan ini nanti.
“Di peringkat kerajaan, kita perlu memastikan kesinambungan dengan Fasa Pengembangan yang lebih menyeluruh dilaksanakan agar lebih ramai peserta akan dapat didayaupayakan melalui program ini dan seterusnya akan mewujudkan kesan pengganda kepada komuniti setempat,” katanya. – UTUSAN