Kredit RM100 SARA boleh diguna di 4,100 premis runcit, libatkan 90,000 barangan keperluan

Kredit RM100 SARA boleh diguna di 4,100 premis runcit, libatkan 90,000 barangan keperluan

SEORANG pengguna membeli beras putih tempatan di sebuah kedai runcit di Kuala Terengganu, hari ini. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Rakyat dewasa yang menerima kredit RM100 bagi program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) boleh dibelanjakan di lebih 4,100 premis runcit melibatkan lebih 90,000 barangan keperluan dalam 14 kategori.

Ia antaranya bagi pembelian beras, telur, kebersihan rumah, ubat-ubatan dan keperluan sekolah.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan menjelaskan, kredit RM100 ini akan sah digunakan sehingga tarikh luputnya, 31Disember 2025 bermula 31 Ogos ini dan baki yang tidak dibelanjakan akan diagihkan semula kepada golongan rentan melalui program yang diputuskan kelak.

“Ini merupakan julung kalinya bantuan tunai disalurkan kepada seluruh rakyat dewasa melibatkan seramai 22 juta rakyat Malaysia layak menerima pengkreditan ini secara individu.

“Langkah ini melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2 bilion. Secara kolektif, sesebuah isi rumah berpeluang menerima jumlah kredit SARA yang lebih tinggi.

“Sebagai contoh, sebuah keluarga yang terdiri daripada sepasang suami isteri dan dua anak berumur 18 tahun dan ke atas akan menerima jumlah keseluruhan RM400, dan bukannya hanya RM100,” katanya hari ini.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian kredit itu sebagai usaha meringankan kos sara hidup rakyat.

SARA merupakan program pelengkap kepada Sumbangan Tunai Rahmah (STR), yang menyalurkan kredit bulanan khusus untuk pembelian barangan asas.

Inisiatif ini digagaskan oleh Kerajaan Madani dan diperkenalkan menerusi Belanjawan MADANI pertama pada 2023, serta kini memanfaatkan 5.4 juta penerima aktif.

Dengan pelaksanaan inisiatif one-off ini, jumlah keseluruhan peruntukan di bawah program STR dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion bagi tahun 2025. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN