MELAKA: Koperasi Tenaga Nasional Berhad (KopTNB) menduduki tempat kedua Anugerah Koperasi Terbaik Malaysia 2025 sempena Hari Koperasi Negara 2025 (HKN 2025) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini semalam.
Kejayaan itu membolehkan KopTNB memperbaiki kedudukan daripada tempat keempat pada HKN 2024 kepada tempat kedua tahun ini sekali gus menerima sijil, piala dan wang tunai RM15,000.
Anugerah tersebut disampaikan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh yang merasmikan Majlis Penutupan HKN 2025 yang bertemakan ‘Koperasi Memperkasa Komuniti Membina Negara Madani’.
Majlis turut dihadiri Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Bekas Pengerusi KopTNB, Datuk Nor Azman Mufti berkata, beliau amat berbangga dengan kejayaan itu dan menunjukkan hasil kerja keras, komitmen tinggi dan sinergi seluruh kakitangan serta ahli koperasi.
Beliau berharap melalui pengiktirafan itu menjadi dorongan kepada KopTNB untuk terus cemerlang dan berdaya saing.
“Kami bersyukur melonjakkan kedudukan sejak empat tahun lalu iaitu berada di kedudukan ketujuh, turun kelapan selepas itu naik ke tempat keempat dan Alhamdulillah tahun ini kami dapat nombor dua.
“Kejayaan ini cukup jelas membuktikan KopTNB berkembang menjadi sebuah koperasi kredit yang patuh syariah dan menawarkan perkhidmatan seperti simpanan, pembiayaan Islam, takaful, pelancongan dan pelbagai produk sosial untuk anggota koperasi.
“Ini adalah rangkuman daripada tiga atau empat entiti termasuk Lembaga Pengarah, pengurusan, kakitangan koperasi yang menjadi pelaksana, anggota-anggota yang mencari dan akhirnya pelanggan-pelanggan serta vendor-vendor yang menyokong perniagaan kita,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi TNB, Zulkefle Ab. Rahim berkata, kejayaan tersebut menguatkan azam KopTNB dengan menetapkan sasaran pendapatan mencecah RM20 juta menjelang akhir tahun ini dapat dicapai berbanding RM19 juta yang direkodkan tahun lalu.
“Tahun lalu anggota kami seramai lebih kurang 19,000 pencarum menerima dividen sebanyak 14 peratus jika sasaran menjadi kenyataan dividen akan dinaikkan berbanding tahun lalu,” ujarnya.
Katanya, KopTNB akan terus memperkukuh komitmennya dalam mempelbagaikan manfaat untuk anggota menerusi pelancaran dan pengukuhan dua inisiatif utama iaitu mySenang.my dan Bazaria.
Jelasnya, inisiatif tersebut menfokuskan kepada kemudahan digital serta pembangunan keusahawanan komuniti.
“Kedua-dua platform ini merupakan langkah strategik pihaknya dalam menyesuaikan peranan koperasi dengan keperluan semasa, sejajar dengan aspirasi transformasi digital negara dan pembangunan ekonomi rakyat,” ujarnya.-UTUSAN