DUNGUN: Seorang kontraktor ditemukan mati dengan kesan kelar di bahagian leher dan pergelangan tangan kirinya, berhampiran kawasan tapak pembinaan perumahan rumah teres di Taman Madani, Bandar Al Muktafi Billah Shah, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, mayat mangsa yang berusia lingkungan 40an itu ditemukan terbaring di atas tanah dengan berlumuran darah kira-kira pukul 3.15 petang, bersebelahan pintu penumpang hadapan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang diparkir di tepi jalan.
“Pemeriksaan mendapati terdapat beberapa kesan kelar di pergelangan tangan kiri dan leher mangsa. Turut diremukan sebilah pisau pemotong kertas berhampiran mayat mangsa,” katanya.
Maizura berkata, setakat ini punca kematian mangsa yang berasal dari Taman Sri Rampai, Kuala Lumpur itu masih dalam siasatan dan pihak forensik turut melakukan siasatan lanjut sama ada wujud unsur jenayah.
Sementara itu, seorang penduduk,
Mohd. Syukri Mamat, 35, berkata, dia terkejut melihat lelaki yang sedang terbaring di tepi jalan dengan berlumuran darah.
“Saya dan rakan saya melalui kawasan projek perumahan ini untuk menghantar makanan kepada rakan. Pada awalnya kami nampak orang terbaring tepi kereta, kami ingatkan dia tidur atau kereta rosak sebab enjin kereta masih hidup. Bila kami hampiri lelaki itu, memang terkejut tengok badannya berlumuran darah. Saya terus hubungi polis,” katanya.
Rakan sekerja mangsa, Mohd Bustaman Azmi, 40, berkata, mangsa mengadu tidak sihat dan memberitahu ingin ke klinik untuk mendapatkan rawatan kira-kira pukul 10 pagi ini.
“Saya cuba hubungi dia beberapa kali dari pukul 11 pagi hingga 3 petang, panggilan saya tidak dijawab. Bila saya keluar untuk mencarinya, saya dapati beberapa orang sudah berada berhampiran kenderaannya dan orang kampung beritahu dia sudah mati.
“Saya tak tahu sama ada dia ada masalah lain atau tidak, tapi dia kelihatan sedikit murung pagi tadi dan kurang bercakap, mungkin sebab dia tidak sihat,” katanya. – UTUSAN