PETALING JAYA: Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) menganugerahkan kontrak katering tiga tahun bernilai RM25.64 juta kepada sebuah syarikat yang tidak memiliki sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Menurut Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025, syarikat itu yang dikenal pasti sebagai 0267299-T, memperoleh tender membekalkan makanan kepada pesakit di HCTM dari Februari 2024 hingga Februari 2027.
Menurut laporan itu, perolehan tender tersebut bertujuan ‘menyediakan sajian makanan yang halal kepada pesakit HCTM bersesuaian status Dapur Utama yang mendapat pensijilan halal daripada Jakim’.
LKAN yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam mendapati jawatankuasa penilaian teknikal HCTM tidak mengesyorkan 0267299-T kerana gagal dalam penilaian teknikal kerana ketiadaan sijil halal dan sijil Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP).
Menurut jawatankuasa, syarikat itu juga gagal dalam penilaian teknikal kerana tidak berpengalaman dan tidak mempunyai bilangan pramusaji serta troli makanan yang mencukupi untuk pesakit.
Audit mendapati jawatankuasa penilaian teknikal menilai 12 pembida, dengan markah lulus ditetapkan pada 85 peratus dan ke atas. Hanya dua pembida lulus penilaian teknikal, manakala 0267299-T adalah antara 10 syarikat yang gagal, hanya memperoleh 53%.
Bagaimanapun, syarikat itu akhirnya dipilih kerana memenuhi kriteria jawatankuasa penilaian kewangan, menurut laporan audit.
Syarikat terbabit turut didenda 10 peratus atas kelewatan membekalkan troli sajian makanan, yang berpotensi menjejaskan mutu perkhidmatan kepada pesakit.
“Kegagalan pihak syarikat membekalkan troli makanan mengikut tempoh dan spesifikasi yang ditetapkan boleh menjejaskan perkhidmatan dan kualiti makanan yang diberikan kepada pesakit.
“Bagaimanapun, tiada aduan yang diterima daripada pesakit dan kakitangan jabatan yang berkaitan,” katanya.
Sebagai respons, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang menyelia HCTM berkata, kontrak syarikat terdahulu untuk membekalkan makanan kepada pesakit hampir tamat dan jawatankuasa perolehan tender bersetuju meneruskan tender itu kerana perkhidmatan ini ‘tidak boleh terputus’.
UKM juga berkata, 0267299-T telah memohon pensijilan HACCP pada 24 September 2024, tetapi proses audit hanya boleh dijalankan selepas kerja-kerja pengubahsuaian di HCTM selesai.
Namun, laporan itu tidak merekodkan jawapan UKM mengenai ketiadaan sijil halal 0267299-T.
HCTM turut didapati menganugerahkan kontrak berasingan untuk pembekalan peralatan perubatan kepada sebuah syarikat yang tidak disyorkan oleh jawatankuasa penilaian teknikal kerana mesin pemecut linearnya (Linac), digunakan untuk rawatan kanser, gagal memenuhi keperluan integrasi dengan sistem sedia ada di HCTM.
Akibatnya, beberapa peralatan perubatan penting, termasuk mesin Linac, simulator CT (digunakan dalam terapi radiasi) dan contrast injectors (digunakan untuk pengimejan dipertingkat) lewat dibekalkan.
Peralatan ini dijadualkan dihantar sebelum 18 September tahun lepas. Ketika audit dijalankan, mesin Linac tersebut masih belum dihantar, mencatatkan kelewatan selama 122 hari.
“Kelewatan pembekalan peralatan Linac, CT-Simulator dan mesin Contrast Injector mengikut tempoh yang ditetapkan menjejaskan perkhidmatan HCTM,” menurut laporan itu.
Kelewatan memulakan rawatan telah memberi impak kepada ‘survival’ pesakit melibatkan 20 pesakit dengan tempoh menunggu antara satu hingga lapan minggu. – UTUSAN










