Kongsi video termakan daging khinzir, Syasya tiada niat mahu bangga - Utusan Malaysia

Kongsi video termakan daging khinzir, Syasya tiada niat mahu bangga

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Syasya Rizal, tampil menjelaskan video dirinya termakan daging babi yang dimuat naik di TikTok bukan bertujuan untuk berbangga diri.

Jelas Syasya atau Norsyasya Afiqah Shahrizal, 24, dia sengaja berkongsi situasi yang terjadi di China itu sebagai peringatan buat dirinya agar lebih berhati-hati memeriksa setiap makanan.

“Video itu saya kongsikan sebagai peringatan buat diri saya dan sesiapa sahaja yang masih belajar sama seperti saya.

“Sebab dekat label tulis ‘halal’. Bukannya saya sengaja makan di tempat tidak halal. Kadang kita lupa lain negara, lain caranya. Tapi itu sebahagian daripada proses pembelajaran,” tulisnya menerusi hantaran di Instagram.

Dalam pada itu, tambah penyanyi Raya Pum Pang itu lagi ini merupakan kali pertama dia berhadapan situasi seperti itu ketika melancong.

“Yang saya kunyah dalam mulut itu bukan daging haram. Saya betul-betul tak tahu sebab itu saya tanya.

“Ini kali pertama hadapi situasi ini bukan sebab saya biasa atau bangga makan makanan haram.

“Nauzubillah, moga Allah jauhkan kita semua dari fitnah dan daripada memfitnah,” tambahnya.

Jelas bekas kumpulan Dolla itu lagi, dia berharap agar segala salah faham dapat dijernihkan apalagi Islam merupakan agama yang penuh kasih sayang.

“Alhamdulillah, saya ada suami yang selaku ingatkan tentang kasih sayang dan bukan cacian. Islam agama yang lembut, bukan menghukum.

“Agama yang peluk kita bila kita sesat jalan, bukan tolak kita lebih jauh. Jom selalu ingatkan tentang kasih sayang.

“Bukan dengan murtadkan orang lain waktu dia tersungkur. Tiada yang sempurna, sama-sama kita belajar,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN