KOTA KINABALU: Komuniti Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negara ini antara yang mendapat manfaat hasil pengumuman inisiatif Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kelmarin.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, pengumuman tersebut merupakan satu penghargaan besar kepada rakyat Malaysia dan mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI dalam menangani kos sara hidup semua lapisan masyarakat di negara ini.
“Semua inisiatif yang diumumkan oleh Perdana Menteri itu adalah satu penghargaan besar kepada rakyat Malaysia. Ia juga membantu menjana kitaran ekonomi rakyat apabila peruntukan program Jualan Rahmah turut ditingkatkan, selain cuti tambahan bersempena sambutan Hari Malaysia.
“Dalam konteks ekonomi, saya percaya komuniti PMKS akan menerima manfaat besar apabila kuasa beli isi rumah meningkat. Saya juga ingin menggalakkan rakyat Malaysia untuk mengambil peluang sempena cuti Hari Malaysia untuk bercuti dalam negara, terutamanya di destinasi pelancongan desa yang diusahakan oleh koperasi dan komuniti PMKS,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Ewon berkata, kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) juga akan terus mempergiat usaha mempromosi produk dan perkhidmatan komuniti PMKS melalui pelbagai program.
“Antaranya sambutan Hari Koperasi Negara di Melaka hujung minggu ini, kemudian diteruskan dengan Karnival Mega 3 Dimensi menampilkan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI), semua ini adalah platform untuk rakyat membeli terus daripada usahawan kecil.
“Kita juga ada program Jejak Koperasi sebagai galakan untuk mempromosi produk pelancongan koperasi di seluruh negara,” katanya.
Beliau berkata, penurunan harga petrol memberi impak langsung kepada kos operasi PMKS khususnya mereka yang menjalankan perniagaan dari luar bandar ke pekan atau bandar.
“Kos petrol adalah antara kos terbesar usahawan kecil. Pengumuman ini meringankan beban mereka, selain pemberian tunai RM100 yang boleh dimanfaatkan oleh semua warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas termasuk usahawan PMKS,” katanya.
Ewon berkata, walaupun nilai bantuan RM100 dilihat kecil oleh sesetengah pihak, namun ia sangat besar maknanya kepada komuniti PMKS yang terus bergelut dalam memastikan kelangsungan perniagaan harian mereka.
“Sesetengah negara sedang bergelut dengan konflik dan kelaparan. Di Malaysia, kita menikmati keamanan dan bantuan berterusan daripada kerajaan. Ini bukti kestabilan ekonomi dan politik negara yang diterajui oleh kepimpinan Perdana Menteri.
“Pada saya pemberian ini sangat besar maknanya kepada rakyat Malaysia termasuklah kepada komuniti usahawan PMKS.
“Apa yang paling penting di sebalik pengumuman penghargaan untuk rakyat Malaysia ialah indikator ekonomi yang disebut PMX itu menunjukkan kestabilan kepimpinan negara kita yang memungkinkan kestabilan ekonomi,” katanya.
Antara inisiatif penting yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di bawah rangka Kerajaan MADANI dalam Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia ialah bantuan one‐off di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 untuk semua rakyat dewasa Malaysia berumur 18 tahun ke atas.
Bagi menggalakkan rakyat menjalinkan silaturahim sesama keluarga di kampung atau meluangkan masa bercuti di dalam negara, cuti tambahan pada 15 September diisytiharkan sebagai hari kelepasan am tambahan sempena Sambutan Hari Malaysia pada tahun ini.
Turut diumumkan peruntukan Jualan Rahmah MADANI 2025 ditingkatkan sekali ganda kepada RM600 juta berbanding RM300 juta sebelum ini.
Harga petrol RON95 akan turun lebih rendah iaitu RM1.99 seliter selepas penyasaran subsidi bahan bakar itu dilaksanakan kelak.
Kerajaan juga bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol melibatkan 10 lebuh raya tahun ini bagi memastikan rakyat terus menikmati kadar sedia ada. – UTUSAN