LENGGONG: Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melancarkan buku rujukan buat 281 institusi Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah kementerian itu untuk beroperasi mengikut amalan Hijau atau mesra alam.
Buku itu yang dinamakan sebagai Buku Panduan Pelaksanaan Amalan Hijau TVET@KKDW, dibangunkan hasil jawatankuasa teknikal yang dibentuk.
Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang berkata, antara komponen utama dalam panduan itu ialah kecekapan tenaga dan air, pengurusan sisa, pengangkutan rendah karbon, reka bentuk bangunan hijau dan integrasi pendidikan kelestarian dalam kurikulum.
“Pelaksanaan inisiatif ini akan dilaksanakan secara berfasa dan dinilai menggunakan indikator prestasi yang objektif.
“Saya amat berharap pihak pengurusan institusi TVET di bawah KKDW akan memberi komitmen penuh demi memastikan pelaksanaan amalan Hijau ini berjaya,” katanya semasa majlis peluncuruan Amalan Hijau TVET@KKDW di sini hari ini.
Rubiah berkata, KKDW juga akan memperkenalkan sistem penarafan bagi menilai amalan Hijau yang dilaksanakan.
Beliau malah terbuka sekiranya ada jabatan atau kementerian lain mahu bekerjasama dengan KKDW menerusi buku panduan tersebut atau pelaksanaan amalan Hijau.
Dalam pada itu, beliau mahu institusi TVET di bawah kementerian itu turut menjalinkan hubungan dengan warga penduduk sekitar seperti Kolej Kemahiran Tinggi MARA di Lenggong.
“Teknologi yang ada boleh dibawa keluar dalam usaha kita membangunkan produk-produk kampung yang boleh menguntungkan masyarakat setempat,” katanya. – UTUSAN