Kilang haram proses e-waste diserbu, rampasan bernilai RM31.3 juta - Utusan Malaysia

Kilang haram proses e-waste diserbu, rampasan bernilai RM31.3 juta

SEBAHAGIAN rampasan yang dilakukan PGA Perak selepas menyerbu sebuah kilang haram memproses e-waste di Parit semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Polis menahan tiga lelaki dan merampas pelbagai barangan bernilai RM31.3 juta selepas menyerbu sebuah kilang haram memproses sisa elektronik (e-waste) di kawasan ladang kelapa sawit di Jalan Senggang di sini semalam.

Serbuan di premis tidak bernombor pada pukul 9 pagi itu dijalankan Cawangan Risik Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor dan Batalion 1 Briged Utara, Ulu Kinta dibantu oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak dan Majlis Daerah Perak Tengah.

Komander Briged Utara PGA Ulu Kinta, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim berkata, pemeriksaan di premis disyaki menjalankan aktiviti memproses e-waste secara haram itu menemui pelbagai peralatan dan kelengkapan selain bongkah-bongkah e-waste yang telah dimampatkan dan belum diproses.

Katanya, pemeriksaan di lokasi serbuan yang terletak kira-kira lima kilometer dari jalan utama itu turut menjumpai sebuah lori berisi bongkah mampat disyaki e-waste yang belum diproses.

“Pemeriksaan di kilang tersebut menemui 81 bongkah disyaki e-waste dengan anggaran berat 105,300 kilogram (kg) dan arang batu seberat 5,000kg.

“Selain merampas bahan tersebut, kita turut menyita sebuah lori dan dua buah kenderaan pacuan empat roda dengan nilai rampasan berjumlah RM31,337,000.

“Tiga lelaki warga tempatan berusia antara 35 hingga 70 tahun turut ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, bongkah-bongkah disyaki e-waste yang dirampas akan diserahkan kepada JAS Perak untuk siasatan lanjut.

Katanya, siasatan kes itu dilakukan Cawangan Risik Batalion 3 PGA bagi mengesan individu atau sindiket yang menjalankan aktiviti pemprosesan sisa e-waste tanpa lesen dan permit yang sah mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 18, Seksyen 19, Seksyen 34A dan Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 serta Seksyen 6 Akta Peniaga Sekendhend 1946 dan Seksyen 127 Kanun Tanah Negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN