BAGAN DATUK: Jantina bukan halangan buat seorang wanita, Siti Mastura Mohd. Salleh untuk melaksanakan tugasnya sebagai Ketua Kampung Simpang Empat, Hutan Melintang di sini.
Berusia 34 tahun, Siti Mastura mengakui tugas berat memikul tanggungjawab sebagai ketua kampung sejak dilantik ke jawatan itu awal bulan lalu namun sedia menyahut cabaran tersebut.
Menurutnya, beliau mahu membuktikan jantina bukan penentu kebolehan seseorang untuk menjadi ketua dalam komuniti.
“Bagi saya tiada halangan wanita menggalas tanggungjawab sebagai ketua kampung apatah lagi pada zaman ini wanita boleh melaksanakan kerja dengan baik.
“Namun masih banyak yang perlu saya pelajari dalam tugas saya sebagai ketua kampung, apatah lagi saya masih muda.
“Walaupun gementar untuk memikul tanggungjawab yang diberikan, saya akan berusaha memberikan perkhidmatan yang terbaik,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.
Menurut Siti Mastura, antara fokusnya untuk kampung tersebut dengan menyelesaikan pelbagai isu seperti pembuangan sampah haram, masalah jalan rosak, jalan sempit, lampu jalan dan sistem perparitan.
Katanya, antara isu semasa yang sedang selesaikan ialah masalah pembuangan sampah di lokasi sepanjang 100 meter di tepi laluan utama di kampung itu yang menyebabkan bau busuk dan keselamatan pengguna.
“Masalah ini sudah lama berlaku, sudah bertahun-tahun namun masih tidak diselesaikan. Kawasan ini bukanlah tempat pembuangan sampah dan ia bermula apabila ada penduduk yang membuang sampah di situ,” katanya.
Menurutnya, beliau berusaha untuk memastikan kawasan tersebut bebas daripada sampah dengan disediakan tempah pembuangan sisa di lokasi lain.-UTUSAN










