NIBONG TEBAL : Sebanyak 27 aduan membabitkan syarikat perkhidmatan bas telah diterima oleh Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) bermula dari tahun lepas sehingga Jun lalu.
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, aduan itu merangkumi pelbagai isu yang berkait dengan pelanggaran akta serta hak pekerja yang melibatkan syarikat pengangkutan tersebut.
Katanya, berdasarkan data, lapan daripada 27 aduan berkenaan diterima pada tahun lepas membabitkan isu baki gaji, isu-isu di bawah Akta Kerja 1955 serta Ordinan Buruh Sabah dan Sarawak serta isu-isu lain yang tidak dikategorikan.
Beliau berkata, baki 19 aduan yang diterima untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini pula turut membabitkan isu yang sama selain beberapa isu lain seperti gaji bekerja ketika bekerja lebih masa, cuti atau rehat, upah di bawah paras gaji minimum dan sebagainya.
“Dalam hal ini, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) akan sentiasa melakukan tinjauan dan pemeriksaan khususnya bagi memastikan pelaksanaan gaji minimum sepanjang masa di semua sektor dikuatkuasakan.
“Justeru, saya ingin menyeru kepada semua majikan supaya mematuhi undang-undang gaji minimum kerana ini merupakan undang-undang yang harus dipatuhi. Ia bukan saranan, bukan cadangan tapi, ia adalah satu kewajipan yang diperuntukkan oleh undang-undang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan segelintir pemandu bas ekspres yang mendakwa tidak menerima gaji minimum RM1,700 daripada majikan meskipun kerajaan telah menguatkuasakannya.
Terdahulu, Steven hadir merasmikan Karnival Kerjaya dan Keusahawanan MYFutureJobs anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Kompleks Penjara Seberang Perai di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, Penawar Express Line Bhd. menjadi satu-satunya syarikat bas yang telah dikenakan tindakan pendakwaan mengikut Seksyen 43 kerana gagal mematuhi Perintah Gaji Minimum pada tahun lepas.
“Syarikat bas ini juga telah didakwa sebanyak dua kali di bawah seksyen yang sama dan ini menunjukkan bahawa Kesuma tidak berkompromi dengan mana-mana majikan yang melanggar hak pekerja,” tegas beliau.-UTUSAN