PETALING JAYA : Polis Sabah mengesahkan siasatan berhubung kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir, di sebuah sekolah agama di Papar kini berada di peringkat akhir selepas hampir dua minggu dijalankan secara menyeluruh.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, siasatan dilakukan secara teliti melibatkan pelbagai pihak termasuk pelajar, ibu bapa serta kakitangan sekolah, malah, tiga individu yang dikaitkan dalam hantaran media sosial juga telah dirakam kenyataan mereka.
“Setakat ini, seramai 60 saksi telah kita ambil keterangan, termasuk tiga nama yang didakwa di media sosial. Mereka adalah pelajar sekolah tersebut dan telah memberi kenyataan bagi membantu siasatan.
“Ketika ini, kertas siasatan telah dihantar ke Bukit Aman untuk penelitian lanjut sebelum dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi tindakan susulan,” katanya dalam sidang media selepas Sambutan Hari Pahlawan Peringkat Negeri Sabah 2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di Sabah, hari ini.
Pada 16 Julai lalu, Zara Qairina ditemukan dalam keadaan parah di bangunan asrama itu selepas terjatuh dari tingkat tiga.
Remaja itu kemudian dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth I (HQE I), untuk rawatan lanjut.
Kejadian itu tular di media sosial dan mengundang pelbagai reaksi netizen selepas ia dikaitkan dengan dakwaan kejadian buli yang didakwa berlaku di sekolah berkenaan.
Mengulas lanjut, Jauteh berkata siasatan pihaknya kini tertumpu kepada dua aspek utama, iaitu punca kematian dan persekitaran sekolah yang menjadi latar kepada insiden tersebut. Beliau tidak menolak kemungkinan wujud elemen buli berdasarkan dapatan awal.
“Kita tidak menafikan wujudnya dakwaan berlaku unsur buli. Siasatan sedang menjurus kepada itu dan kita akan teliti semua maklumat secara profesional,” katanya.
Jauteh turut menepis dakwaan tidak berasas yang mengaitkan anak atau ahli keluarganya dengan sekolah terbabit dan menyifatkan tuduhan sedemikian sebagai tidak sihat dan hanya mengeruhkan keadaan.
“Saya ingin tegaskan bahawa tiada anak saya yang pernah atau sedang bersekolah di sana. Ada netizen sengaja melemparkan tohmahan tidak berasas. Ini satu bentuk gangguan yang tidak membantu siasatan, malah memburukkan lagi suasana,” katanya.
Jauteh berkata, siasatan kes tersebut mengambil masa kerana pendekatan berhati-hati perlu diambil, khususnya ketika berurusan dengan pelajar yang mungkin sedang mengalami trauma.
“Ramai saksi yang kita temui adalah pelajar dan kawan-kawan kepada mangsa. Justeru, proses ini melibatkan kepekaan terhadap emosi mereka. Kita dibantu oleh pakar kaunseling bagi memastikan mereka selesa memberi keterangan tanpa tekanan,” katanya.
Menurutnya, PDRM juga memberi penekanan kepada integriti dan ketelusan dalam setiap langkah siasatan bagi memastikan keadilan untuk semua pihak.
“Kita menjalankan siasatan dengan adil dan tidak hanya melihat dari satu arah. Semua aspek dikaji termasuk latar belakang hubungan sosial mangsa, persekitaran sekolah serta budaya pelajar. Ini penting supaya kita tidak membuat kesimpulan terburu-buru,” katanya.
Katanya, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sabah, Datuk Azmi Abdul Rahim, telah menubuhkan pasukan khas pada hari kejadian, 18 Julai lalu, bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh.
“Pasukan khas ini bergerak pantas, mengambil keterangan pelajar dan mengumpul semua bukti yang ada. Kertas siasatan sudah lengkap dan kita serah kepada Bukit Aman kerana mereka mempunyai kepakaran serta kuasa untuk tindakan seterusnya,” katanya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa PDRM akan terus komited memastikan setiap kes disiasat secara telus dan tuntas, terutama apabila melibatkan keselamatan pelajar dan institusi pendidikan.
“Kami mahu keadilan ditegakkan. Ini janji PDRM kepada keluarga mangsa dan rakyat Malaysia,” katanya. – UTUSAN