KOTA BHARU: Kertas siasatan berkaitan kes rampasan dadah jenis pil kuda bernilai RM5.04 juta di Pasir Mas dan Tumpat dekat sini termasuk penahanan sepasang suami isteri serta tiga lagi suspek telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR), hari ini.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamed berkata, ia selepas siasatan terhadap kesemua suspek yang berusia dalam lingkungan 25 hingga 39 tahun itu selesai dijalankan.
“Kita akan merujuk kertas siasatan kes itu kepada TPR hari ini. Jadi, kita tunggu keputusan TPR.
“Jika boleh dituduh, kita akan dakwa kesemua suspek dalam masa sehari dua ini,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Kama Azural memberitahu, siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.
Kesemua suspek ketika ini sedang menjalani tempoh tahanan reman sehingga Jumaat ini.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, taktik licik sepasang suami isteri yang merupakan pemilik sebuah kedai makan menyembunyikan dadah jenis pil kuda seberat 19.86 kg di dalam timbunan najis lembu di sebuah kandang di Kampung Bukit Tunku, di sini, terbongkar dalam enam siri serbuan, minggu lalu.
Dadah itu dirampas selepas Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menahan seorang lelaki berusia 34 tahun semasa memandu sebuah kereta jenis Perodua Axia di Jalan Gajah Mati Banggol Chicha pada 27 Jun lalu.-UTUSAN