Kerajaan tidak berganjak bantu rakyat walaupun dikritik pembangkang

Kerajaan tidak berganjak bantu rakyat walaupun dikritik pembangkang

TUNKU Nashrul Abaidah ketika berucap pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan tidak berganjak membantu rakyat termasuk daripada pihak pembangkang yang sering menyerang Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hampir setiap hari.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Tunku Abaidah berkata, sejak hari pertama memimpin negara pada penghujung 2022, Perdana Menteri tidak pernah berhenti untuk memperbaiki keadaan kewangan negara demi untuk kesejahteraan rakyat.

Katanya, pendedahan terbaharu bahawa Malaysia sebenarnya mengalami kerugian sehingga $AS18 bilion akibat skandal 1MDB oleh wartawan penyiasat antarabangsa, Bradley Hope dan Tom Wright membuktikan Kerajaan Madani mewarisi kerosakan pentadbiran terdahulu.

“Akhirnya apabila keadaan kewangan negara beransur pulih, baru sedikit demi sedikit bantuan kepada rakyat diberikan untuk meringankan sedikit beban dalam ketidaktentuan ekonomi global ini.

“Perdana Menteri ingin mengucapkan terima kasih kepada semua rakyat kerana memberikan sokongan dan dukungan serta tetap bersabar ketika usaha-usaha memperbaiki negara.

“Walaupun segelintir pihak termasuk Ketua Pembangkang menghina, mencerca dan mengaibkan Perdana Menteri hampir setiap hari menggunakan media sosial untuk memperlekehkan segala usaha Kerajaan Madani, sedikit pun beliau tidak berganjak dan berkecil hati,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Beliau berkata, Anwar turut memohon maaf kerana kelewatan menunaikan sesetengah janjinya sebelum menjadi Perdana Menteri.

“Di kesempatan ini, saya ingin mengulangi permohonan maaf yang disampaikan oleh Perdana Menteri semalam kerana kelewatan menunaikan sesetengah janjinya sebelum menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Tambah Tunku Nashrul, semua inisiatif yang diumumkan semalam akan dilaksanakan tahun ini dan bukanlah sebahagian daripada Belanjawan 2026.

“Belanjawan 2026 hanya boleh diguna pakai pada tahun 2026 dan sebab itu namanya Belanjawan 2026.

“Manakala semua yang diumumkan semalam akan dilaksanakan tahun ini, bermula dengan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk semua pada 31 Ogos 2025,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN