PETALING JAYA: Kerajaan perlu bersikap terbuka jika ada sebarang perkembangan konkrit hasil mesyuarat teknikal Malaysia-Indonesia berhubung isu Ambalat yang dijangka bulan ini.
Pakar Undang-Undang Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Salawati Mat Basir berkata, rundingan tersebut masih di peringkat awal perbincangan dan belum wajar didedahkan secara menyeluruh sehingga butiran perundangan dan teknikal diperhalusi.
“Saya berpandangan kita harus tunggu dan lihat dahulu perkembangan mesyuarat teknikal.
“Jika ada perkembangan konkrit, kerajaan wajib memaklumkan kepada rakyat dengan telus dan jelas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, akhbar ini melaporkan, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menggesa Perdana Menteri menjelaskan kepada rakyat apa sahaja persetujuan yang dicapai mengenai perkara itu.
Mengulas perkara itu, Salawati berkata, pendekatan pembangunan bersama yang dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto adalah langkah pragmatik setelah isu tersebut berlarutan tanpa penyelesaian sejak sekian lama.
Katanya, kerajaan tidak seharusnya berdiam diri, apatah lagi isu tersebut membabitkan kawasan strategik yang kaya dengan sumber minyak dan gas.
“Malaysia dan Indonesia masing-masing ada tuntutan terhadap kawasan itu. Jadi, pembangunan bersama dilihat sebagai jalan tengah, namun ia tetap perlu didasari penyelesaian undang-undang yang jelas termasuk bentuk kerjasama, agihan hasil dan aspek kedaulatan maritim,” katanya.
Mengulas gesaan pihak pembangkang yang mahu kerajaan menjelaskan butiran rundingan, Salawati menyifatkan perkara itu adalah wajar.
“Pada saya, tidak salah pun kalau pembangkang bertanya. Ini isu negara, bukan isu milik kerajaan semata-mata.
“Yang tidak wajar ialah jika ia dipolitikkan berlebihan sehingga menimbulkan kemarahan rakyat terhadap perkara yang belum jelas,” katanya.
Salawati berkata, isu tersebut hanya melibatkan Malaysia dan Indonesia tanpa membabitkan pihak ketiga serta sebarang kegagalan rundingan boleh dikembalikan ke posisi asal atau sekiranya perlu boleh dibawa ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
“Indonesia sebelum ini pernah kalah kepada Malaysia dalam kes Sipadan-Ligitan. Bagi saya, mereka agak trauma untuk bawa isu (Ambalat) ke ICJ.
“Jadi mereka lebih selesa mencari penyelesaian bersama. Apa pun, kerajaan perlu maklumkan kepada rakyat apabila tiba masanya,” katanya. – UTUSAN











