Kerajaan perlu bertindak tangani pelaburan asing ‘hangus’

Kerajaan perlu bertindak tangani pelaburan asing ‘hangus’

DOMINIC LAU HOE CHAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Aliran keluar pelaburan asing (FDI) dari pasaran saham Malaysia yang kini mencecah RM12.7 bilion disifatkan sebagai ibarat api marak yang terus membakar pasaran saham tempatan.

Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, jika kerajaan gagal memperkenalkan langkah-langkah konkrit bagi mengembalikan keyakinan pelabur, jumlah tersebut berkemungkinan besar akan melepasi paras RM13 bilion buat kali pertama pada tahun ini.

Beliau berkata, kadar pengeluaran dana asing dari pasaran saham berlaku jauh lebih pantas daripada jangkaan dan banyak pelaburan berpotensi akhirnya hangus begitu sahaja.

Katanya, situasi itu sering dijadikan alasan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mempertahankan lawatan-lawatan luar negara beliau.

“Pada awalnya kita menjangka bahawa aliran keluar pelaburan asing akan mula reda selepas April, namun data terkini membuktikan sebaliknya.

“Aliran keluar semakin meningkat, menandakan sentimen pasaran yang berhati-hati terhadap risiko masih tinggi. Dalam keadaan ini, kerajaan sebagai pihak pentadbir utama tidak boleh lepas tangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, setiap kali Perdana Menteri mengadakan lawatan ke luar negara, kerajaan akan mengumumkan jumlah pelaburan berpotensi yang kononnya semakin meningkat.

Katanya, nilai pelaburan berpotensi yang dijanjikan oleh pelbagai negara kini dikatakan telah mencecah lebih RM100 bilion.

Namun, beliau mempersoalkan berapa banyak daripada jumlah itu yang benar-benar telah direalisasikan.

“Saya bertemu ramai orang yang menyatakan pelaburan berbilion ringgit ini hanya ibarat bunga api, ‘pop’ sekali, indah seketika, lalu lenyap begitu sahaja,” katanya.

Beliau turut mengkritik Perdana Menteri yang menurutnya hanya pandai bercakap besar tetapi tidak mampu melaksanakan dasar secara berkesan.

Katanya, kerajaan kini hanya bergantung kepada pinjaman dan peningkatan hasil cukai untuk menampung kekosongan fiskal, tanpa mengambil kira kesengsaraan rakyat yang masih bergelut dalam tekanan ekonomi.

“Apabila bercakap soal menarik pelaburan asing, pelbagai data dan dasar dikemukakan dengan begitu lantang.

“Tetapi berapa banyakkah daripada ‘potensi pelaburan’ ini yang benar-benar telah dilaksanakan dan membawa impak kepada ekonomi negara?” katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh tujuh bulan lalu, pelabur asing secara konsisten telah menarik keluar dana dari Bursa Malaysia.

Katanya, pada 15 Julai sahaja, nilai jualan bersih oleh pelabur asing mencecah RM136.52 juta, sekali gus menjadi tindakan pengeluaran terbesar sejak 16 Julai.

Namun begitu, beliau berkata, kerajaan masih kekal dalam keadaan pasif dan gagal mengemukakan sebarang tindakan balas yang konkrit dan berkesan.

“Timbalan Gabenor Bank Negara, Encik Adnan Zaylani, pada bulan Mac lalu menyatakan bahawa berdasarkan trend pegangan pelabur asing terhadap saham tempatan sebelum ini, aliran keluar ini kononnya bersifat sementara.

“Tetapi dari segi realiti semasa, ‘sementara’ ini telah berlarutan selama tujuh bulan,” katanya.

Beliau berkata, perkara itu jelas menunjukkan bahawa pelabur asing hilang keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan hari ini.

Katanya, jika kerajaan benar-benar diyakini, pelabur tidak akan terus-menerus menarik keluar dana dari pasaran saham.

Malah, beliau tidak menafikan bahawa ketidaktentuan pasaran turut berkait rapat dengan dasar tarif yang diperkenalkan oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Namun begitu, katanya, dengan hanya beberapa hari sahaja lagi menjelang 1 Ogos, kerajaan harus lebih proaktif dalam memantau dan menangani keadaan semasa bagi menstabilkan sentimen pelabur.

“Jika tidak, aliran keluar pelaburan asing ini dikhuatiri akan berterusan dan semakin sukar untuk dipulihkan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×