PETALING JAYA: Kerajaan bercadang untuk mewujudkan Akta Suruhanjaya Kehakiman Syariah dan Akta Saraan Hakim Syarie bagi memperkukuh undang-undang Islam di dalam negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, perkara tersebut merupakan antara langkah-langkah konkrit yang sudah dan sedang dilaksanakan bagi memperkukuh undang-undang syariah.
Selain itu, menurut beliau, antara langkah yang termasuk adalah penubuhan Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pindaan serta penggubalan undang-undang syariah.
“Antaranya seperti Akta Tatacara Jenayah Syariah, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 (Akta 303) dan Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Wilayah Wilayah Persekutuan) 1998 (Akta 585).
“Malah, melakukan rundingan dan perbincangan dengan negeri-negeri dari semasa ke semasa bagi maksud penyelarasan dan penyeragaman undang-undang syariah di Malaysia dan penubuhan Akademi Kehakiman Syariah Malaysia (AKSM) serta penggubalan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Mahkamah 4 Peringkat),” katanya menerusi jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen Malaysia, hari ini.
Beliau menjawab Tan Sri Abdul Hadi Awang (PN-Marang) yang memintanya untuk menyatakan langkah kerajaan untuk memperkukuh kedudukan undang-undang syariah dan institusi fatwa di negara ini agar ia tidak diperlekeh atau dicabar sesuka hati.
Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, kerajaan juga sudah melaksanakan pemerkasaaan fatwa melalui Majlis Kebangsaan Islam (MKI).
“Kesemua inisiatif ini membuktikan iltizam Kerajaan dalam memperkukuh kedudukan undang-undang syariah secara menyeluruh dan bersepadu.
“Agar ia terus dihormati, tidak diperlekeh atau dicabar sesuka hati, seiring dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan aspirasi umat Islam di negara ini,” katanya. – UTUSAN










