Keputusan saman SRC International, UMNO pada 24 Okt.

Keputusan saman SRC International, UMNO pada 24 Okt.

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 24 Oktober ini untuk keputusan kes saman syarikat SRC International Sdn. Bhd. dan dua anak syarikatnya terhadap UMNO dan UMNO Selangor yang didakwa menerima wang RM19.5 juta yang diselewengkan daripada syarikat tersebut.

Hakim, Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan menetapkan tarikh tersebut selepas mendengar hujah-hujah pihak terlibat.

Pada prosiding hari ini, SRC International, Gandingan Mentari Sdn Bhd (GMSB) dan Jendela Pinggiran Sdn Bhd (JPSB) selaku plaintif diwakili peguam Razlan Hadri Zulkifli.

UMNO diwakili peguam Mohamed Shahrul Fazli Kamarulzaman manakala UMNO Selangor diwakili peguam, Datuk Hasnal Rezua Merican yang dinamakan sebagai defendan.

Pada Mei 2021, ketiga-tiga syarikat terbabit memfailkan saman tersebut bagi mendapatkan semula RM16 juta yang dikatakan dipindahkan kepada UMNO.

Plaintif turut menuntut semula RM3.5 juta daripada UMNO Selangor, jumlah yang mereka dakwa telah diterima secara salah oleh parti itu.

Plaintif mendakwa bahawa UMNO dan UMNO Selangor tahu atau sepatutnya tahu bahawa wang itu adalah milik SRC dan UMNO tidak mempunyai asas untuk menerima dana itu.

Terdahulu, Hasnal Rezua menghujahkan bahawa yang diterima UMNO Selangor adalah sumbangan politik manakala Razlan Hadri menyatakan pihaknya telah membuktikan pelanggaran terhadap tanggungjawab fidusiari oleh pengurusan tertinggi SRC International.

“Berdasarkan pengakuan bekas pengarah SRC International, Datuk Suboh Md. Yassin (saksi kedua SRC) sendiri dalam menandatangani cek kosong, serta bukti dokumentari yang dikemukakan kepada mahkamah ini, pihak plaintif telah membuktikan pelanggaran amanah atau tanggungjawab oleh bekas-bekas pengarah plaintif berdasarkan imbangan kebarangkalian,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Shahrul Fazli mengulangi pendirian UMNO bahawa parti itu telah menerima RM16 juta dan telah menggunakan sepenuhnya jumlah tersebut untuk aktiviti dan program yang dijalankan di bawah inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN