BANGI: Penyanyi, Zehra Zambri, berkata dia mendahulukan duit poketnya untuk membiayai rawatan anak, Zahiyah Iqleela, yang dimasukkan ke wad akibat kahak dalam paru-paru, minggu lalu.
Dedah Zehra, 38, sudah beberapa kali dia menanggung kos keperluan dan kebajikan anak sendirian kerana sukar mendapat respons daripada pihak suami.
“Kalau bab keperluan seperti susu, lampin saya yang perlu dahulukan duit saya kemudian baru saya ‘claim’ dengan dia.
“Namun susah juga, ibarat perlu mengemis terlebih dahulu,” katanya ditemui usai prosiding mendengar laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) di Mahkamah Rendah Hulu Langat, Bangi, pada Isnin.
Jelas Zehra, walaupun suami ada datang menjenguk anak mereka yang dimasukkan ke wad pada 10 Julai lalu, dia tidak pula menunaikan keperluan dari aspek kewangan.
“Anak saya baru-baru ini dimasukkan ke wad sebab ada kahak dalam paru-paru, itu pun saya yang uruskan sendiri daripada A sampai Z.
“Anak saya dalam wad daripada 10 Julai sampai 13 Julai, dia datang jaga satu malam sahaja.
“Saya tidak boleh halang dan benarkan dia datang jaga sebab itu pun anak dia. Namun, urusan lain seperti insurans dan bil hospital semua saya tanggung.
“Dia hanya datang melenggang bawa diri sahaja dan ambil gambar barangkali untuk konten semata,” katanya lagi.
Bagaimanapun, Zehra mahu memberi fokus kepada urusan perceraian terlebih dahulu sebelum beralih kepada tuntutan nafkah.
“Tentang kebajikan anak saya enggan fikir dahulu sebab yang paling utama mahu selesaikan kes perceraian kami dahulu.
Sebelum ini, penyanyi itu memfailkan permohonan cerai secara ‘fast track’ terhadap suaminya, Nur Muhd Iqwan selepas mendakwa lebih tiga tahun berkorban mempertahankan rumah tangga mereka.
Nur Mohd Iqwan juga pernah berkongsi lima tuntutan permohonan perceraian yang difailkan oleh Zehra pada 7 Mac lalu terhadapnya.
Antara tuntutan tiada lagi persefahaman antara mereka, culas menjalankan tanggungjawab, sikap, pengabaian serta institusi perkahwinan sudah tidak dapat diselamatkan lagi.
Pada 7 Mei, Kes permohonan perceraian penyanyi Zehra Zamri dan suaminya, Nur Mohd. Iqwan Samsudin di Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat, Bandar Baru Bangi, , yang sepatutnya terlerai hari itu ditangguhkan ke hari ini.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada November 2021 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan yang kini berusia dua tahun. -UTUSAN