SAYA baru pulang dari bertemu seorang pelakon- dia kacak, popular dan sudah tentu suami orang. Bila bertanya khabar, dia berkata karakter dalam projek terbaharunya gila sampai buat demam 10 hari, murung, kena telan ubat batuk sebab tidak boleh tidur malam, meracau sendirian sampai isterinya yang jelita itu naik risau.
Ada sedikit ‘apa ke jadah’ dalam hati ketika mendengar luahan perasaan itu. Bukan merendahkan atau tidak percaya (walau saya jarang percaya cakap artis), sekadar terkejut memikirkan besarnya impak karakter itu memakan emosi pelakon itu.
Semasa memandu pulang tadi, saya ada terimbas juga siri percakapan dengan para pelakon yang pernah murung, menangis, enggan bertemu manusia kerana sesuatu karakter begitu lekat dalam jiwa mereka.
Dalam keadaan tubuh separa mahu rebah kerana diserang demam tiba-tiba, saya gagahkan diri melangkah ke Nero Event Space untuk teater Persiapan Seorang Aktor. Kehadiran saya disambut bunyi gesekan selo yang syahdu, kemudian nampak Sadiq Saufi (Aloy Paradoks) sudah mundar mandir menghafal skrip. Rupanya bukan teater ini yang datang kepada saya, tapi saya yang datang ke dalam dunia Sadiq Saufi yang sudah sedia ada sibuk itu.
Nina (Fazleena Hishamuddin) yang bertubuh ramping kerana di rumah kurang nasi sudah membuka tingkap rumah. Berharap suaminya yang sudah beberapa hari di atas katil – kerana mahu mendalami karakter Hamlet – akan bangun dan sedia ke latihan teater. Nina mengheret Sadiq ke tab mandi, dia faham perkara pertama yang diperlukan oleh orang yang murung seperti Sadiq adalah mandi dan apa sahaja berbau wangi.
Dalam dinamik hubungan suami isteri yang awalnya saya sangka platonik, namun tiba-tiba makin romantis dan manis, Nina setidaknya bersikap nyata. Apa sahaja method acting yang dilakukan Sadiq, Nina mungkin faham, kerana dia pun asalnya anak teater.
Tapi dia logik, Nina akur manusia-manusia seperti penerbit, pengurus pentas yang garang dan para pelakon lain mungkin sedang berbakul menyumpahi disiplin Sadiq. Suaminya yang ada nama besar dalam dunia teater boleh sahaja dibuang serta merta.
Sadiq bukan tidak cuba, masalahnya Hamlet tidak masuk ke dalam jiwanya. Ini pementasan maha penting dalam kerjaya. Tidak tahu apa lagi yang perlu dilakukan. Pertempuran dalaman Sadiq makin menggila, tidak lama lagi pementasan mahu mula. Di sinilah letaknya jasa Razak, seorang pengarah yang dilakonkan Nam Ron ‘menggegarkan’ kepala Sadiq.
Usaha tak mengkhianati hasil, pada malam penuh bersejarah, Sadiq dalam pakaian ala-ala band MCR memberikan persembahan memukau sebagai Hamlet.
Ketika teater sampai ke penghujung saya seakan dejavu dan tertanya-tanya. Adakah ini mungkin situasi dilalui seorang pelakon kacak yang saya jumpa tempoh hari? Pasti isterinya susah hati sama seperti Nina, cuma bezanya rumah pelakon itu cukup beras kerana mereka asal orang berada.
Nina berharap, usaha dan persembahan suaminya akan mendapat perhatian. Saya menuliskan artikel ulasan teater ini pertama kali di Mingguan Malaysia untuk Nina.
Semoga, di hari minggu dengan wang dicatu-catu, Nina akan membeli akhbar ini dan menyedari sekurang-kurangnya, ada satu orang yang percaya usaha suaminya dan para pelakon yang tersiksa membawakan sesuatu karakter layak diperkatakan.