KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) menggerakkan kempen sedekah seriyal atau RM1 sehari bagi membantu golongan yang memerlukan melangkaui batasan kaum, bangsa dan agama.
Yang Dipertuanya, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, berkata, walaupun ia nampak kecil namun sumbangan itu amat bermakna bagi mereka yang memerlukannya dan tidak berada dalam senarai golongan asnaf zakat.
Katanya, kempen itu digerakan melalui platform sumbangan Dana Awam Baitulmal Maik dan boleh diakses secara mudah alik melalui laman sesawang.
“Jadi saya menyeru rakyat Kelantan yang berada di pelosok dunia supaya sama-sama bersedekah seriya (RM1). Besar harapan Maik agar kempen ini memberikan impak dan manfaat yang besar kepada rakyat di negeri ini sekali gus meringankan beban mereka yang memerlukan bantuan,” katanyapada majlis memeterai morandum persefahaman (MoU) antara Maik dan Syarikat SecurePay Sdn. Bhd, di sini, hari ini.
Tengku Mohamad Rizam memberitahu, melalui MoU itu Syarikat SecurePay menyumbangkan platform bernilai RM460,000 melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR). – UTUSAN










