Kemalangan Senawang: Pemandu berusia 19 tahun direman tiga hari

Kemalangan Senawang: Pemandu berusia 19 tahun direman tiga hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Pemandu kereta Satria berusia 19 tahun direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kejadian kemalangan jalan raya yang berlaku di Jalan Persiaran Senawang 1, awal pagi tadi. 

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, penahanan lelaki berkenaan selepas suspek membuat laporan polis dan juga kejadian berkenaan turut tular di media sosial menerusi video berdurasi 2 minit 30 saat dipercayai dirakam oleh orang awam. 

Menurut beliau, kejadian kemalangan yang berlaku pada jam 2.55 pagi itu, membabitkan dua buah kereta iaitu kereta jenis Proton Satria dan Perodua Axia. 

“Daripada siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila kereta jenis Proton Satria yang dipandu lelaki Melayu berumur 19 tahun itu dari arah Senawang menghala ke Ampangan. 

“Bagaimanapun, kereta berkenaan hilang kawalan setelah cuba mengelak sebuah kenderaan yang membrek secara mengejut. Jenis dan nombor pendaftaran kenderaan tersebut tidak dapat dipastikan.

“Kemudiannya, kereta Proton Satria tersebut melanggar tiang lampu dan sebatang pokok sebelum terbabas masuk ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah Perodua Axia yang dinaiki lima orang termasuk pemandu.

“Akibat kemalangan itu, pemandu Proton Satria mengalami kecederaan ringan, manakala seorang penumpang Perodua Axia cedera parah dan kini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS). 

“Penumpang lain yang cedera ringan turut menerima rawatan sebagai pesakit luar di hospital sama,” katanya ketika dihubungi di sini. 

Mohamad Hatta berkata, ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati negatif dadah. 

“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih diteruskan,”katanya. 

Beliau dalam pada itu berkata, polis menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan lalu lintas bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Nor Fadzilah Mohd Zainuddin di talian 019-4611794 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN