Kelengkapan latihan antara disiasat punca kematian anggota komando - Utusan Malaysia

Kelengkapan latihan antara disiasat punca kematian anggota komando

MUHAMMAD Hafizuddeain Jantan berucap pada penutup Eksesais Keris Strike 2025 di Lenggong hari ini. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LENGGONG: Kualiti dan keselamatan peralatan latihan menjadi antara perkara yang sedang disiasat sebagai punca kematian seorang anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) sewaktu menjalani latihan selaman di perairan Kuantan pada awal bulan ini.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, tempoh siasatan bergantung kepada kerumitan masalah tersebut.

“Kita sedang meneliti. Penemuan awal kita rasa ada isu dari segi peralatan, yang digunakan sudah agak lama.

“Kta sedang membuat semakan dan audit sama ada perkara itu melibatkan kesilapan anggota atau pun masalah peralatan itu sendiri. Kita belum rumuskan lagi perkara itu dan kita akan maklumkan berkenaan proses siasatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas upacara penutup Eksesais Keris Strike 2025 di sini hari ini.

Koperal Mohd. Haswansir Julnasir dilaporkan hilang pada 3 Julai lalu ketika menjalani latihan di Pelabuhan Kuantan, dan dikatakan lemas serta ditemui terdampar di tebing berbatu kira-kira 300 meter dua hari kemudian.

Muhammad Hafizuddeain berkata, pihak TDM mempunyai polisi berkaitan setiap peralatan yang digunakan termasuk jadual penyelenggaraan secara berkala.

“Itu yang hendak diteliti. Sama ada proses penyelenggaraan dibuat mengikut masa atau tidak,” katanya.

Berdasarkan laporan, mangsa bersama tiga anggota komando menjalani latihan selam di kawasan pelabuhan terbabit dan mereka melakukan selaman dengan turun ke dasar laut berpandukan tali keselamatan.

Difahamkan sejurus kejadian, pasukan komando terbabit berusaha mencari dan menyelamatkan Mohd. Haswansir, tetapi gagal dan ketika ditemui pada 5 Julai, mayat mangsa dalam keadaan lengkap berpakaian bersama peralatan menyelam.

Difahamkan mangsa bertugas di Rejimen 22, Kem Iskandar Mersing, Johor dan dijadualkan menjalani latihan di Kuantan antara 30 Jun dan 9 Julai. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN