KUALA SELANGOR: Kegiatan haram warga asing mengendalikan tiga premis perniagaan sejak lima bulan lalu mengundang padah apabila digempur pihak berkuasa di Sungai Buloh dan Sungai Sembilang, Jeram di sini, semalam.
Kesemua premis itu melibatkan kedai barangan lusuh, pusat cuci kenderaan dan kedai makanan.
Perkara itu dikesan menerusi serbuan dilakukan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) dengan kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bermula pukul 8.30 pagi.
Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPKS, Mohamad Lutfi Mislah Hudin berkata, Operasi Bersepadu Premis Warga Asing lebih lima jam itu dilakukan hasil risikan dan maklumat awam berkaitan aktiviti warga asing secara tidak sah di kawasan berkenaan.
“Sebanyak enam kompaun dikeluarkan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MDKS) 2007 dan empat notis penutupan premis.
“Selain itu, sitaan peralatan perniagaan dilakukan bagi kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen,” katanya hari ini.
Tambahnya, MPKS selain pemeriksaan ke atas empat premis tersebut, sebuah kilang e-waste turut diperiksa dan diarah tutup secara merta.
Menurut Mohamad Lutfi, Jabatan Kawalan Bangunan MPKS turut mengeluarkan notis mengikut Seksyen 70(1) dan 79(1) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 bagi kesalahan struktur binaan tanpa kebenaran.
“Jabatan Kesihatan kita juga mengeluarkan dua kompaun kesalahan membuang sisa di kawasan premis. Selain itu, SSM mengambil tindakan dengan mengeluarkan empat kompaun ke atas premis yang gagal mematuhi Akta Syarikat 2016 dan Akta Pendaftaran Perniagaan 1956,” ujarnya. – UTUSAN