PORT DICKSON: Kerajaan Negeri Sembilan menangguhkan sementara waktu pelantikan Ahli Lembaga Pelawat (ALP) hospital di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perkara itu ditetapkan minggu lalu sekali gus tiada mana-mana ALP yang telah diputuskan di hospital di negeri ini, walaupun sudah diluluskan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad.
“Kita tangguh (pelantikan ALP) dulu satu Negeri Sembilan. Minggu lepas lagi kita sudah tangguh pelantikan (Ahli) Lembaga Pelawat Hospital. Kita tangguhkan buat sementara walaupun menteri dah luluskan.
“…sebab kita di peringkat Negeri Sembilan, kita harap dapat dibincangkan supaya kita luluskan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan mesyuarat yang lepas bersetuju supaya ditangguhkan.
“Itu sahaja, jadi hendak kata sudah lantik seorang pengusaha vape belum ada lagi,” katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas berkenaan tular di media sosial surat pelantikan seorang pengusaha vape dilantik sebagai Ahli Lembaga Pelawat Hospital Rembau. Surat bertarikh 27 Mei lalu itu turut ditandatangani oleh Dr. Dzulkefly. – UTUSAN











