PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi jaminan bahawa kebajikan isi rumah termasuk mahasiswa kekal menjadi keutamaan syarikat itu, susulan semakan tarif elektrik yang berkuat kuasa mulai 1 Julai lalu.
TNB dalam kenyataan berkata, majoriti pelajar termasuk dalam kategori pengguna domestik dan tidak terkesan dengan sebarang kenaikan tarif, bergantung kepada corak penggunaan masing-masing.
“Sebahagian besar pelajar menyewa di kediaman biasa atau tinggal di kolej kediaman, dan bil elektrik mereka tidak berubah,” katanya.
Tambah TNB, pengguna domestik yang menggunakan kurang daripada 1,000 kWj sebulan turut menikmati Insentif Cekap Tenaga, sekali gus membantu menjimatkan bil dan menyokong agenda tenaga mampan negara.
Pengguna juga boleh mengurangkan bil menerusi skim Masa Penggunaan (ToU) dengan mengalihkan penggunaan tenaga ke luar waktu puncak.
“Sebagai contoh, penggunaan mesin basuh atau penghawa dingin boleh dijadualkan di luar waktu puncak untuk menikmati kadar lebih rendah,” kata kenyataan itu.
TNB turut menawarkan rebat 10 peratus kepada institusi pengajian tinggi awam dan swasta serta rumah kebajikan dan rumah ibadat, bagi membantu pengurusan kos operasi.
Selain itu, bantuan RM40 sebulan di bawah Program Rebat Bil Elektrik RM40 diberikan kepada Ketua Isi Rumah berstatus miskin tegar berdaftar dalam sistem e-Kasih.
“Langkah ini turut memberi manfaat kepada keluarga pelajar daripada golongan B40,” katanya.
TNB menegaskan komitmen untuk terus melindungi kesejahteraan rakyat dan menyokong pembangunan sektor pendidikan menerusi pembaharuan tenaga secara mampan.
Maklumat lanjut mengenai semakan tarif dan panduan penjimatan tenaga boleh diperoleh di [www.mytnb.com.my/tariff](http://www.mytnb.com.my/tariff) atau TNB CareLine 1-300-88-5454.