SHAH ALAM: Buku biografi “Melukis Dengan Hati: Biografi Seni 50 Tahun” karya kartunis tersohor Zunar, yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam, disifatkan sebagai sebuah naskhah penting yang perlu dihargai oleh seluruh rakyat Malaysia.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan buku tersebut sebagai catatan perjuangan berani seorang seniman yang tidak pernah gentar menyuarakan kebenaran, meskipun berhadapan pelbagai tekanan, pendakwaan dan penahanan sepanjang kerjayanya.
“Melukis Dengan Hati bukan sekadar buku tentang seni — ia adalah kisah tentang keberanian. Ia mengangkat kartun sebagai medium perjuangan dan menjadi saksi semangat rakyat menentang penindasan “Zunar menjadi sebahagian daripada perjalanan perjuangan rakyat, khususnya dalam menuntut keadilan dan hak demokrasi di Malaysia.
“Lukisannya menjadi simbol kebebasan bersuara dan semangat reformasi,” kata Amirudin dalam satu hantaran di Facebook.
Buku setebal 230 muka surat itu yang diluncurkan di Perpustakaan Raja Tun Uda, Shah Alam merakamkan perjalanan seni Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwarul Haque sejak 1973.
Ia mendokumentasikan pelbagai fasa penting dalam karier seni Zunar bermula kartun pertama beliau sehingga era perjuangan bagi kes 1MDB dan reformasi
Sementara itu menurut Amirudin, bagi menghargai sumbangan seni dan perjuangan berani Zunar, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) akan melengkapkan koleksi buku-buku kartunis berusia 63 tahun itu di semua perpustakaan awam di seluruh Selangor.
Usaha itu agar karya-karya Zunar dapat diakses dan dimanfaatkan oleh rakyat dari pelbagai lapisan masyarakat.
“Saya yakin buku ini akan menjadi bahan rujukan penting untuk generasi kini dan akan datang tentang seni, keberanian, dan tanggungjawab sosial dalam memperjuangkan keadilan,” jelasnya.