Kapal tempur ‘Raja Muda Nala’ dilancar

Kapal tempur ‘Raja Muda Nala’ dilancar

SULTAN Sharafuddin Idris Shah dan Tengku Permaisuri Norashikin pada pelancaran Kapal Tempur Pesisir (LCS) 2 milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang diberi nama Raja Muda Nala di Limbungan Lumut Naval Shipyard di Lumut semalam. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUMUT: Kapal Tempur Pesisir (LCS) 2 milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dilancarkan semalam dan diberi nama Raja Muda Nala dalam majlis yang berlangsung di Limbungan Lumut Naval Shipyard Sdn. Bhd. (LUNAS) di Pangkalan TLDM Lumut, di sini.

Upacara penamaan dan pelancaran kapal itu disempurnakan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin sambil disaksikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pada majlis itu, baginda ber­dua menyaksikan simbolik pelancaran LCS 2 di mana sebuah kendi berisi air yang dibaca surah Yasin dari sembilan buah masjid dari sembilan daerah di Selangor dilepaskan ke dinding haluan kapal.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari; Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohd. Nizam Jaffar; Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Zulhelmy Ithnain; Panglima Tentera Udara, Leftenan Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris dan Ketua Pegawai Eksekutif LUNAS, Ir. Azhar Jumaat.

Kapal Tempur Pesisir (LCS) 2 milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang diberi nama Raja Muda Nala di Limbungan Lumut Naval Shipyard di Lumut, semalam. – UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

Sementara itu, Adly ketika membacakan teks ucapan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, LCS 2 adalah kebanggaan negara kerana merupakan kapal frigat pertama yang dibina oleh syarikat tempatan, LUNAS.

Katanya, proses pembinaan kapal itu bermula dengan majlis peletakan lunas atau ‘keel la­ying’ pada 28 Februari 2017.

Menurutnya, nama Raja Muda Nala dipilih sempena nama anakanda Sultan Selangor pertama, Raja Muda Nala Shah Sultan Salehuddin Shah.

Katanya, Raja Muda Nala yang dilantik sebagai Raja Muda oleh kekandanya, Sultan Ibrahim Shah pada 1782 merupakan tokoh pejuang tersohor yang memimpin perjuangan rakyat Selangor ketika menentang pe­nguasaan Belanda.

“Peranan Raja Muda Nala dalam bidang ketenteraan amat terserlah khususnya melalui penglibatan baginda dalam pe­perangan menentang Belanda di Melaka serta usaha mempertahankan Bukit Malawati bersama Sultan Ibrahim daripada serangan Belanda.

“Walaupun akhirnya terpaksa berundur ke Pahang, baginda tetap kembali berjuang bersama yang lain untuk merampas semula Bukit Malawati pada tahun 1785.

“Ini secara tidak langsung mencerminkan keberanian dan tekad luar biasa yang wajar dicontohi oleh setiap warga ATM dan rakyat negara ini,” katanya.

Tambah beliau, semangat kepahlawanan, perjuangan dan keberanian Raja Muda Nala dilihat bertepatan dan selari de­ngan keupayaan LCS TLDM yang direka untuk menghadapi pelbagai bentuk ancaman dalam era peperangan moden. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN