KEPALA BATAS : Seorang wanita maut manakala adik perempuannya cedera parah apabila kereta Proton Wira yang mereka naiki bertembung dengan sebuah kereta jenis Peugeot di Jalan Taman Bertam Perdana di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 8.37 pagi itu, mangsa, Khirul Mazwan Mustafa, 41, meninggal dunia di lokasi akibat cedera parah manakala adiknya, Khirul Asmaa, 37, pula mengalami patah kaki kiri.
Seorang lagi mangsa iaitu pemandu kereta Peugeot, Syed Zahir Idid Syed Hamid Idid, 28, bagaimanapun hanya mengalami cedera ringan akibat kemalangan tersebut.
Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya bergegas ke lokasi sebaik sahaja menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu.
“Setibanya di lokasi, didapati dua daripada mangsa (dua beradik itu) berada dalam keadaan tersepit di ruang hadapan Proton Wira dan bomba terpaksa menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mereka.
“Mangsa yang disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) kemudian diserah kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang cedera pula dihantar ke hospital untuk rawatan,” katanya.
Difahamkan, jenazah Khirul Mazwan yang juga ibu kepada tiga orang anak itu selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam berhampiran Masjid Pinang Tunggal di sini lewat petang tadi.-UTUSAN