KUALA LUMPUR: Sistem pelantikan hakim tidak perlu dirombak kerana kaedah yang diguna pakai ketika ini sudah cukup menjamin kebebasan undang-undang negara.
Bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman berkata, sebaliknya kaedah itu bergantung kepada integriti pihak yang terlibat dalam menjalankan sistem tersebut.
“Sistem ini sudah berjalan dengan lamanya, apa yang cacat? Ia sudah melibatkan semua pihak, Perdana Menteri terlibat, Majlis Raja-Raja terlibat, oleh kerana akhirnya ia akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong terlibat, semuanya terlibat. Ini bermakna, tentulah mereka akan lebih faham dan lebih tahu tentang sistem ini berbanding orang luar.
“Sistem itu juga tiada yang salahnya, tetapi ia bergantung kepada orang yang mentadbir dan buat keputusan. Jadi, terpulang kepada orang tersebut. Sistem apa pun yang diadakan tidak akan mencapai matlamatnya jika orang yang dilantik itu tidak mengikut peraturan.
“Yang membuatkan ia nampak cacat adalah mereka yang tidak bertanggungjawab memenuhi kehendak undang-undang dan negara. Tidak pernah sejak dahulu pelantikan hakim jadi seperti ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas keperluan untuk menubuhkan tribunal khas bagi menyiasat salah laku hakim.
Kelmarin, Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar mencadangkan tribunal itu ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan kebocoran minit mesyuarat Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) yang mengaitkan seorang hakim kanan dengan campur tangan dalam urusan kehakiman.
Namun, cadangan itu dibidas bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim dengan berkata, walaupun langkah mengambil tindakan terhadap hakim yang dinamakan itu mungkin agak mudah, isu yang lebih ‘menggemparkan’ adalah keperluan untuk menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI).
Zaid berkata, tribunal hanya merupakan ‘mekanisme untuk mengkambing hitamkan seseorang’, manakala RCI akan menyemak sama ada terdapat pelanggaran undang-undang dalam konteks pelantikan kehakiman.
Mengulas lanjut, Abu Talib menegaskan, pelantikan hakim adalah mustahak demi kepentingan rakyat serta memelihara keharmonian negara.
“Sebab itu kita ada mahkamah rendah, tinggi. Jadi pelantikan hakim ini sangat penting dan hendaklah mengikut peraturan yang ditetapkan Perlembagaan. Peraturan itu jelas dalam Perlembagaan.
“Sebab itu, saya jelaskan hanya orang yang bertanggungjawab melaksanakan tugas itu sahaja yang boleh menjawab soalan-soalan yang ditimbulkan. Sewaktu zaman saya, sebagai bekas peguam, saya memang tidak akan berkompromi dan perlu patuh pada apa yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN