PETALING JAYA: Isu kependudukan negara kini berada pada tahap membimbangkan apabila Kadar Kesuburan Jumlah (TFR) Malaysia mencatatkan hanya 1.7 anak bagi setiap wanita, jauh di bawah paras penggantian populasi iaitu 2.1 anak.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kadar kelahiran pada suku pertama tahun 2025 turut mencatatkan penurunan lebih 11 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, cabaran populasi hari ini tidak boleh diselesaikan dengan seruan untuk berkahwin dan berkeluarga semata-mata, sebaliknya memerlukan sokongan dasar dan ekosistem yang menyeluruh.
“Ramai anak muda masih mempunyai keinginan untuk berkahwin dan membina keluarga, namun terhalang oleh pelbagai faktor seperti kos sara hidup, pekerjaan yang tidak stabil, kekurangan akses kepada penjagaan anak dan kebimbangan terhadap masa depan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Nancy berkata, suara dan keperluan golongan muda perlu diangkat dalam merangka dasar kependudukan negara.
Justeru, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan strategi menyeluruh bagi menyokong mereka.
“Antara inisiatif utama termasuk subsidi melalui Program Bantuan Rawatan Kesuburan dan Advokasi Infertiliti (BuAI) kepada 1,300 pasangan suami isteri yang layak.
“Selain itu, kemudahan penjagaan anak dan cuti ibu bapa yang lebih fleksibel bagi meringankan beban golongan muda dalam merancang serta memulakan kehidupan berkeluarga,” katanya.
Katanya, KPWKM turut menzahirkan komitmen untuk meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pelbagai isu kependudukan termasuk hak kesihatan reproduktif, perubahan demografi, kesejahteraan keluarga dan pembangunan mampan. – UTUSAN










