PETALING JAYA: Seramai 33 penumpang bas disaman kerana tidak memakai tali pinggang keledar dalam operasi khas dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur di Plaza Tol Gombak dekat sini malam tadi. .
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, kesalahan itu dikesan menerusi Operasi Khas Pemakaian Tali Pinggang Keledar yang dijalankan sejak 1 Julai lalu berkaitan pemeriksaan terhadap 44 buah bas membabitkan 41 bas ekspres dan tiga bas persiaran.
Katanya, operasi khas berkenaan dilaksanakan bagi memastikan tahap pematuhan penumpang terhadap pemakaian tali pinggang keledar di tempat duduk belakang sentiasa dipatuhi.
“Daripada jumlah bas yang diperiksa, seramai 33 penumpang dikenakan kompaun kerana tidak memakai tali pinggang keledar semasa dalam perjalanan.
“Dua notis kesalahan turut dikeluarkan kepada pengusaha bas kerana gagal menyediakan tali pinggang keledar yang berfungsi di tempat duduk penumpang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hamidi berkata, operasi itu selaras Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Tali Pinggang Keledar dan Sistem Kekangan Kanak-Kanak) (Pindaan) 2019, yang mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar di tempat duduk belakang bagi semua bas dibina mulai 1 Januari 2020, kecuali bas henti-henti.
Menurutnya, tiga kes turut membabitkan penumpang bawah umur 18 tahun telah diberikan nasihat serta advokasi oleh anggota penguat kuasa di lokasi pemeriksaan.
“Penumpang bertanggungjawab memastikan mereka memakai tali pinggang keledar. Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja melanggar undang-undang malah membahayakan keselamatan diri dan penumpang lain,” katanya.
Beliau berkata, bagi kesalahan tidak memakai tali pinggang keledar, penumpang boleh dikenakan kompaun maksimum RM300, manakala pengusaha bas yang gagal menyediakan tali pinggang boleh dikenakan tindakan serupa.
Jelasnya, tindakan mahkamah juga boleh diambil bagi kesalahan berulang yang membawa kepada hukuman denda maksimum RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan – UTUSAN