KANGAR: Menteri Besar Perlis, Mohd. Shukri Ramli sedia mempertimbangkan bertanding jawatan di peringkat Pusat dalam Pemilihan Pas sekiranya beliau dicalonkan.
Katanya, pada masa ini, beliau belum menerima maklumat berkaitan perkara itu dan jika dicalonkan akan dipertimbangkan kemudian.
“Sebelum ini pun, saya tidak pernah terima apa-apa pencalonan (di peringkat Pusat), kalau dicalonkan, kita istikharah dahulu,” katanya di sini semalam.
Pemilihan Pas Kawasan Arau baru-baru ini menyaksikan kejutan apabila Mohd. Shukri tewas bagi jawatan Yang Dipertua Pas kawasan itu.
Beliau memperoleh 43 undi tewas kepada penyandang, Solahudin Azmi yang menerima sebanyak 128 undi sekali gus mencetuskan polemik sama ada kedudukan beliau sebagai Menteri Besar bakal terjejas atau sebaliknya ekoran kekalahan itu.
Bagaimanapun, Mohd. Shukri tidak melihat kekalahan tersebut sebagai penolakan akar umbi sebaliknya hanya perkara biasa serta tidak akan memberi kesan untuk kekal sebagai Menteri Besar sehingga habis penggal.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Shukri yang juga Pesuruhjaya Pas negeri berkata, Pas Perlis menyokong penuh Tan Sri Abdul Hadi Awang kekal sebagai presiden.
Katanya, Abdul Hadi masih layak mengetuai Pas dan parti masih memerlukan khidmat beliau.
“Pas negeri sangat menyokong Abdul Hadi kekal (presiden), beliau masih layak memimpin. Kita memerlukan pemikiran beliau bukan tenaga.
“Malah, tahap kesihatan Abdul Hadi juga semakin baik selepas menjalani prosedur rawatan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN