LOS ANGELES: Pelakon, Jessica Alba, 44, dikhabarkan sedang menjalinkan hubungan istimewa dengan bintang filem Captain America, Danny Ramirez.
Khabar angin bertiup kencang apabila kedua-duanya baru-baru ini dirakam hadir bersama-sama di lapangan terbang antarabangsa Cancun, Mexico sebelum menaiki penerbangan ke Los Angeles.
Spekulasi percintaan kedua-dua bintang Hollywood itu sebenarnya mula diperkatakan sejak Mei lalu apabila Alba dirakam berpegangan tangan dengan seorang lelaki ketika bercuti di London.
Netizen berteka teki dengan ramai yang meneka lelaki berkenaan sebagai Ramirez.
Alba dan Ramirez bagaimanapun mengunci mulut mengenai perkara tersebut sehingga ke hari ini.
Untuk rekod, Alba sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Cash Warren pada 2008. Namun perkahwinan mereka tidak bertahan apabila keduanya memutuskan untuk bercerai pada Februari tahun ini.
Bekas pasangan suami isteri itu dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Honor, 17, Haven,13 dan Hayes, 7.- UTUSAN